Selasa, 11 September 2012

Bersih 3.0: Chegubard fail permohonan ketepi tuduhan

JAMILAH HAMZAH

KUALA LUMPUR - Badrul Hisham Shaharin, dari PKR, hari ini memfailkan dua permohonan untuk mengetepikan tuduhan ke atasnya yang berkaitan dengan perhimpunan Bersih 3.0.

Menurutnya, permohonan itu dibuat atas alasan keputusan tidak membenarkan Bersih 3.0, di Dataran Merdeka pada 28 April lalu, satu tindakan yang salah.

"Daripada surat ini, saya buat dua permohonan untuk batalkan pertuduhan dikenakan kepada saya.

"Keputusan untuk tak benarkan Bersih itu keputusan yang salah, separuh rakyat menyokong untuk menyertainya," kata beliau kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; timbalan presidennya Azmin Ali dan Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard berhadapan dengan tuduhan berkaitan dengan perhimpunan Bersih 3.0 Mei lalu.

Ketiga-tiga mereka dikenakan tuduhan bersubahat berkaitan dengan perhimpunan itu, yang diadakan di kawasan berhampiran Dataran Merdeka.

Pada 22 Mei lalu, Anwar, Azmin dan Badrul meminta dibicarakan atas tuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, satu tuduhan yang dikenakan kepadanya di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak munasabah di mana bahagian utama Seksyen 4(1) membenarkan haknya dilaksanakan.

Tambahnya, beliau mempunyai  hak untuk berhimpun atau sertai sesuatu perhimpunan secara aman yang mana selaras dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan perhimpunan Bersih 3.0 diisytiharkan secara aman.

"Saya percaya dan telah dinasihatkan untuk oleh peguam cara bahawa perintah tersebut harus terbatal secara undang-undang.

"Secara alternatif saya katakan pihak pendakwaan bertindak secara mala fide apabila tafsirkan perhimpunan itu sebagai protes jalanan dan dengan pertuduhan itu boleh dikatakan hak perlembagaan saya dicabuli," katanya.

Selain itu, Badrul Hisham berkata satu lagi pertuduhan terhadapnya dibawah Seksyen 34,109 dan 188 Akta Kanun Keseksaan untuk berhimpun di Dataran Merdeka telah dicabuli.

"Sebelum ini pada Bersih 1 dan 2 sebelum ini telah mendapat sambutan rakyat dan Bersih 3.0 juga tidak disembunyikan tentang hajat untuk adakan perhimpunan di Dataran Merdeka.

"Pada dua minggu sebelum perhimpunan tiada sebarang petunjuk keganasan, gangguan awam atau bahaya kepada nyawa," katanya.

Badrul Hisham juga berkata, Dataran Merdeka bukan kawasan larangan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang atau tidak meluluskan perhimpunan aman yang di bawah Bersih 3.0 dengan slogan "Duduk dan bantah di Dataran Merdeka".

Tiada ulasan: