Ahad, 9 September 2012

Beri TOL kepada Lynas, AELB hina mahkamah – Fuziah

Oleh Mohd Martin Kahar

KUANTAN 7 September: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Sallah membidas tindakan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) meneruskan pemberian Lesen Pengendalian Sementara (TOL) kepada syarikat kilang radioaktif – Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) ketika Mahkamah Tinggi menangguhkan semakan undang-undang oleh penduduk.



Naib Presiden KEADILAN itu berkata, AELB tidak menghormati mahkamah dan lembaga itu seolah-olah mempunyai kuasa undang-undang untuk membuat keputusan tersebut.

“Apakah yang boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia jika institusi penting seperti mahkamah diabaikan. Parlimen pula diperalat untuk menyokong keputusan yang salah,” katanya dalam kenyataan.

Fuziah turut menyelar kerajaan Umno BN yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira keselamatan rakyat.

Menurutnya, projek nadir bumi itu berpotensi membawa bencana, merosakkan kesihatan manusia dalam jangka masa panjang dan menjejaskan persekitaran, seterusnya memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

Februari lalu, Gabungan Hentikan Lynas (SLC) memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan AELB meluluskan TOL untuk projek nadir bumi oleh Lynas di Gebeng, Kuantan.

Mahkamah Tinggi Kuantan 28 Ogos lalu meluluskan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili yang menolak rayuan Stop Lynas Save Malaysia (SMSL) untuk membatalkan TOL oleh AELB.

Dalam masa sama, Maximus turut membuat permohonan untuk menghalang rayuan penduduk untuk membatalkan TOL tersebut.

Bagaimanapun, 28 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan meluluskan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Ongkili yang menolak rayuan SMSL untuk membatalkan TOL oleh AELB.

10 September ini pula, Mahkamah Rayuan Putrajaya akan mendengar semakan kehakiman yang difailkan SLC untuk mencabar TOL Lynas atas dasar kelulusan diberi tanpa laporan impak alam sekitar (EIA).

Dalam perkembangan berkaitan,  SLC akan mendapatkan injunksi untuk menghentikanTOL yang dikeluarkan awal minggu ini kepada syarikat Australia tersebut.

Pengerusinya, Tan Bun Teet berkata, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuantan.

Lynas dijangka memulakan operasinya Oktober ini selepas syarikat itu mendapat TOL daripada AELB.

Dengan kelulusan ini, Lynas akan beroperasi mengilang bahan mentah pekatan lanthanid secara berperingkat dan terhad bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 3 September 2012 hingga 2 September 2014.

Tiada ulasan: