Khamis, 27 September 2012

Belanjawan Pakatan kukuh, utamakan rakyat

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 mencakupi segenap aspek kebajikan rakyat, sejajar dengan apa yang mampu diberikan tanpa membebankan hutang kepada kerajaan.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty, belanjawan yang dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam selaras dengan dasar Pakatan untuk membela kebajikan rakyat.

“Belanjawan kali ini lebih konkrit dengan mensasarkan bebanan yang ditanggung rakyat. Semua yang diumumkan itu berkenaan kebajikan rakyat bermula daripada pengurangan kos hidup sehinggakan caruman kepada golongan isteri.

“Caruman Wanita Nasional itu selaras dengan kehendak Islam yang menuntut keutamaan suami membela hak isteri,” katanya ketika dihubungi.

 Intipati Belanjawan Pakatan dibuat berdasarkan polisi sebelum ini, selain selari dengan matlamat mengawal inflasi dan menurunkan hutang.

Tujuh teras utama digariskan iaitu reformasi dan ketelusan GLC, membina daya saing ekonomi, mengangkat martabat wanita, hasil minyak untuk negeri, menurunkan harga kereta, reformasi membanteras jenayah dan perumahan untuk rakyat.

“Saya pasti rakyat gembira jika belanjawan ini terlaksana kerana mereka akan dapat menarik nafas lega terutama bebanan hutang kenderaan dengan mengurangkan harga kereta.

“Kos hidup juga menjadi semakin rendah, banyak yang akan Pakatan laksanakan daripada menghapuskan tol sehingga memberikan pendidikan percuma. Ini yang dikatakan sebagai rakyat didahulukan,” ujar Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak itu lagi.

Tiada ulasan: