Khamis, 27 September 2012

Belanjawan 2013 bukti Pakatan sedia tadbir negara

Oleh Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR : Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang dibentangkan semalam membuktikan Pakatan Rakyat (Pakatan) semakin bersedia mentadbir negara, kata Tian Chua.

Naib Presiden KEADILAN itu berkata, belanjawan tersebut realistik berdasarkan kemampuan negara dan situasi ekonomi global pada masa kini.

“Belanjawan ini dibuat dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi lima peratus yang diramalkan oleh penganalisis ekonomi.

“Kita mensasarkan untuk menurunkan defisit kepada 3.5 peratus berbanding Umno BN 4 peratus,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Menurut Tian, belanjawan tersebut lebih mesra rakyat kerana mensasarkan untuk mengurangkan kos sara hidup melalui usaha meningkatkan pendapatan rakyat, penurunan harga kereta, penghapusan tol dan membina rumah mampu milik secara besar-besaran.

Tambah Ahli Parlimen Batu itu lagi, belanjawan yang dibentangkan bukan semata-mata untuk meraih undi, tetapi perancangan jangka panjang yang memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

“Dalam situasi ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, kita dapat menguruskan ekonomi secara realistik, dan pada masa sama tidak mengorbankan kepentingan rakyat.

“Sebab itu kita menumpukan kedua-dua aspek, selain mensasarkan pertumbuhan ekonomi negara kita juga memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan,” ujarnya.

Tiada ulasan: