Khamis, 6 September 2012

Bekas timbalan menteri Mahadzir Mohd Khir meninggal dunia

ARASHY MOHD AZIM

Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir
Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir 
 
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir meninggal dunia jam 5.05 petang tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya akibat serangan jantung.

Mahadzir berumur 67 tahun.

Jenazah Allahyarham telah dibawa ke kediamannya di No. 13, Jalan 14/50, Seksyen 14, Petaling Jaya dan dijangka dikebumikan esok pagi.

Menurut anak sulungnya, Muhamad Anas, 35, bapanya dimasukkan ke PPUM setelah secara tiba-tiba diserang strok pada 6 petang semalam ketika sedang berehat bersama keluarga di rumahnya.

"Selepas diserang strok, ayah dihantar ke PPUM dalam keadaan tidak sedarkan diri dan doktor yang memeriksanya mendapati terdapat pendarahan di dalam otaknya.

"Ayah yang tidak mengalami apa-apa penyakit sebelum ini koma sehingga disahkan meninggal dunia petang tadi pada usia 67 tahun," katanya dipetik Bernama.

Muhamad Anas, berkata bapanya yang sebelum ini pernah melakukan pembedahan jantung pada 2004 sempat menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Kuala Lumpur baru-baru ini serta menemani ibunya menghadiri satu seminar di Amerika Syarikat sebelum Ramadan lalu.

"Ayah seorang yang tegas dan penyayang dengan anak-anak, suka tolong orang, ikhlas serta pemurah dan kami semua reda dengan pemergiannya," katanya.

Allahyarham merupakan seorang pendidik yang kemudian menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya sebelum dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan dan seterusnya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

Allahyarham yang dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945 pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani.

Mahadzir mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah St. Micheal, Alor Star sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan University of West Michigan dan University of Chicago di Amerika Syarikat. Khidmat beliau kepada masyarakat bermula sebagai guru di salah sebuah sekolah di Baling.

Allahyarham kemudian menyertai perkhidmatan tadbir dan diplomatik di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya umum pada 1999 iaitu di kerusi Parlimen Sungai Petani dan mengekalkannya pada pilihan raya umum berikut.

Pada 10 Disember 1999, Mahadzir telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan dan kemudian sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara pada jam 11 pagi.

Selain Muhamad Anas, Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Dr Amla Mohd Salleh, dua lagi anak, Mohd Syakir, 31 dan Mohamad Salleh, 27, dan seorang cucu perempuan.

Tiada ulasan: