Jumaat, 7 September 2012

Bayangan PM tanda PRU13 Disember ini

Raziatul Hanum A Rajak

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
SHAH ALAM - Para penganalisis yakin bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diramalkan Disember ini selepas dua kali dalam seminggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan mahu membubarkan
Parlimen.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, apa yang dilahirkan oleh Najib semalam dan minggu lalu, susulan kepada beberapa kenyataan sebelum ini, bukan satu mainan politik.

"Tarikh PRU13 paling awal Disember ini. Saya rasa beliau (Najib) sudah ada idea dan ia bukan mainan politik semata-mata," kata Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM ini kepada Sinar Harian ketika dihubungi pagi tadi.

Najib memberi bayangan terbaru mengenai tarikh PRU-13 semalam di Kelantan dan minggu lalu ketika berucap di Baling, Kedah  di mana beliau secara berseloroh berkata sudah ada semangat untuk membubarkan Parlimen.
Azizuddin berkata: "Nak umum tarikh PRU13 ini kena ambil kira pelbagai faktor yang mempengaruhi."

"Antaranya Bajet 2013 yang dibentangkan hujung bulan ini dan musim cuti sekolah dan dalam masa sama musim haji Oktober–November ini. Kena lepas musim haji," kata beliau.

Tambah beliau, "mungkin tarikh isytihar bubar Parlimen November dan PRU13 Disember ini."

Menurutnya, Najib mengumumkan insentif atau bantuan rakyat yang mungkin dapat dinikmati hujung tahun ini, dan oleh itu, PRU13 wajar dijadakan dalam masa terdekat.

"Kalau buat PRU13 tahun depan, rakyat lupa, orang Malaysia cepat lupa. Jadi, wajar diumumkan dalam masa terdekat dengan tempoh rakyat menikmati insentif," katanya.

Jelas beliau, "ekonomi dunia tidak menentu. Tahun depan tidak terjamin lagi ekonomi negara kita stabil. Ia akan menjejaskan dari segi sokongan Barisan Nasional (BN)."

Selain itu, Azizuddin juga mengatakan bahawa lanjutan tarikh yang terlalu lama mungkin akan menimbulkan isu-isu baru, yang menjejaskan imej kerajaan.

Katanya, BN menerima saingan hebat daripada Pakatan Rakyat, namun peluang perikatan tersebut untuk menang dalam PRU13 ini memang ada.

Bagaimanapun katanya, sama ada BN akan meraih kemenangan besar belum pasti.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia sudah membuat keputusan parti mana yang bakal dipilih.

Fokus kini adalah terhadap pengundi baru yang jumlahnya agak besar dan terdiri daripada golongan muda yang membuat keputusan pada saat-saat akhir, kata beliau lagi.

"Dengan itu pelbagai isu dimainkan seperti harga kereta dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menarik golongan pengundi baru ini," katanya lagi.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Mohd Bustamam Abd Karim pula menyatakan bayangan itu merupakan kesungguhan Najib menghadapi PRU13.

Beliau juga menyifatkan apa yang berlaku sekarang kepada negara berpihak kepada BN terutama dari segi ekonomi.

"Faktor ekonomi sangat penting. Jika kita lihat ekonomi negara Cina telah menunjukkan penurunan. Pelabur lagi percaya negara kita. Ekonomi negara kian meningkat.

"Percaturan ideologi lain seperti isu hudud dan sebagainya itu permainan dalaman sahaja," katanya.

Selain faktor ekonomi yang menjadi indikator, musim cuti sekolah, haji dan perayaan juga menjadi ukuran terhadap pemilihan tarikh pilihan raya tersebut, tambah beliau.

Berikutan tarikh akhir mandat Kerajaan Pusat yang akan berakhir penghujung April depan, beliau juga meramalkan PRU13 bakal diadakan Disember ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Mohammad Agus Yusof pula berkata, BN sudah terlepas waktu keemasan untuk meraih undi.

"Tarikh terbaik untuk BN sebelum Jun 2012. Kini, sudah terlepas. Waktu keemasan itu sudah berlalu. Sudah tidak dapat 'catch the moment'," katanya ketika dihubungi.

Penganalisis ini menyifatkan BN berdepan dengan persaingan yang sengit di mana peluang kemenangan sama rata.

"Persaingan sangat sengit jadi peluang untuk menang 50-50 kerana saya tidak lihat bahawa golongan bukan Melayu kembali kepada BN dan saya tidak lihat isu-isu yang timbul dapat tarik golongan intelektual dan golongan muda.

“Saya sendiri sedang menimbang-nimbang. Mahu memerhatikan keadaan seterusnya," katanya.

Beliau menambah, isu-isu yang timbul tidak reda-reda ini menunjukkan kesilapan dalam menguruskan media, informasi dan imej.

Menurutnya, semakin lama masa diambil maka lebih banyak peluang masyarakat menilai.

6 ulasan:

Unknown berkata...

Ada kemungkinan juga. lagipun masa tu cuti persekolahan dan bajet 2013 pun mungkin sudah diumumkan.

mantera berkata...

mcm2 sudah ramalan tentang tarikh PRU dibuat.

Unknown berkata...

Dari dulu sehingga sekarang pelbagai andaian dibuat untuk PRu13 ini.

Unknown berkata...

Kita tunggu saja PRu13 ini. Yang pasti akan diadakan dalam masa terdekat ini. Jadi kita tunggu saja pengumuman yang sebenar.

Mumbai berkata...

pergh! kali ini asas mereka untuk membuat ramalan PRU ialah kononnya Najib sudah dua kali memberikan bayangan berkenaan PRU.. kesian!

Tanpa Nama berkata...

Perkasa cakap PRU13 lepas tahun baru Cina. Huhu