Khamis, 6 September 2012

Banjir terburuk sejak 27 tahun lalu

TIGA murid membantu membersihkan kelas mereka yang dilanda banjir di SKSS, Serdang semalam.

SERDANG – Penduduk mendakwa banjir kilat yang melanda di sini kelmarin merupakan bencana paling buruk pernah berlaku sejak 27 tahun lalu.

Rata-rata mendakwa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca kejadian tersebut berlaku selain tidak mampu menampung hujan lebat.

Tinjauan mendapati, penduduk dan peniaga menyalahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan yang dikatakan gagal mengurus sistem perparitan dengan baik.

Seorang peniaga restoran, Haniffa Syed Mohamad, 63, berkata, sebelum ini, banjir kilat yang berlaku tidak seteruk kelmarin.

“Saya telah berniaga di sini sejak 12 tahun lalu dan banjir kilat yang berlaku adalah yang terburuk sekali. Ada kata paling teruk sejak 27 tahun lalu,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi peniaga, Lee Chee Chin, 48, pula memberitahu, akibat kejadian itu dia menanggung kerugian RM30,000 ekoran alat ganti motosikalnya ditenggelami air.

“Saya tidak sempat hendak menyelamatkan barang-barang dalam kedai kerana banjir berlaku sekelip mata,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 20 Serdang, Kamaruzaman Ibrahim pula mengaitkan faktor tadbir urus yang kurang sempurna menjadi punca berlaku banjir kilat.

“Kawasan ini sudah membangun. Disebabkan itu, pihak yang terlibat perlu lebih teliti sebelum meluluskan projek pembangunan baharu agar penduduk sedia ada tidak terjejas seperti apa yang berlaku hari ini,” jelasnya

Tiada ulasan: