Selasa, 11 September 2012

ANAK dakwa saham FGV rugikan peneroka

 
Nigel Aw


 
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mendakwa peneroka yang terpaksa membuat pinjaman bagi membeli saham Felda Global Ventures Holdings (FGV) kini mengalami kerugian.

Pengerusinya Mazlan Aliman mendakwa, pengurus bank yang dirujuk persatuan itu menyatakan bahawa harga saham pada RM4.70 merupakan had di mana peneroka akan mula mengalami kerugian.
Penasihat ekonomi ANAK Rosli Yaakob pula menjelaskan perkara itu disebabkan dividen pada tahap harga berkenaan tida mencukupi untuk menampung pinjaman yang dibuat peneroka.

"Kadar faedah untuk pinjaman yang diperolehi bagi membeli saham tersebut pada harga RM4.45 adalah lebih mahal daripada dividen," katanya.

Ketika laporan ini ditulis, harga saham FGV berada pada tahap RM4.70 dan terus menjunam ke takah RM4.67 pada tengahari.
Ia kemudiannya meningkat sedikit ke takah RM4.68 apabila kaunter ditutup pada petang ini.

Harga tawaran awam permulaan untuk institusi ditetapkan pada 4.55 manakala harga runcit ditetapkan RM4.45.

Rosli menjelaskan bahawa apa-apa keuntungan tidak mencukupi untuk menampung pelbagai yuran pemprosesan untuk membeli dan menjual saham tersebut, terutama jika peneroka tersebut hanya memegang sebanyak 800 unit.

Katanya, Felda membuat penyenaraian awam itu dengan tergesa-gesa dalam keadaan pasaran saham yang tidak sihat.

Malah, sebanyak 52 peratus daripada ladang sawit Felda terdiri daripada pokok tua, katanya.

"Semasa penyenaraian, Felda berjanji bahawa FGV akan mempuyai rakan kongsi strategik, tapi kita masih belum dengar apa-apa daripada mereka sejak itu.

"Kebanyakan daripada pemegang saham adalah institusi kerajaan atau badan pengurusan dana asing," katanya.

Tiada ulasan: