Jumaat, 28 September 2012

Aminah menang saman fitnah ke atas tiga pemimpin PKR

Aminah menang saman fitnah ke atas tiga pemimpin PKRMALAYSIA CHRONICLE

GEORGE TOWN — Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan tiga pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing membayar ganti rugi RM30,000 kepada bekas Ketua Wanita PKR negeri ini, Aminah Abdullah, dalam satu saman fitnah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk GV Varughese membuat keputusan itu selepas mendapati Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Norhayati Jaafar; Timbalan Ketua PKR Cabang Jelutong, Jab Samad dan Setiausaha PKR Cabang Jelutong, Anuar Kamaruddin mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Aminah dalam akhbar Harakah edisi 20-22 Mei tahun lepas.

Pada 15 Jun 2011, Aminah memfailkan saman fitnah RM6 juta terhadap semua defendan berkenaan serta tiga lagi iaitu wartawan Harakah, Mohd. Sabri Said; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman; dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Bagaimanapun, pada prosiding hari ini, Aminah diarah membayar RM15,000 sebagai kos kepada Mohd. Sabri, Ahmad Lutfi dan Pas selepas mahkamah menerima pembelaan mereka.

Dalam pernyataan tuntutan, Aminah mendakwa, laporan akhbar itu, antara lain, bermaksud beliau seorang yang jahil agama dan tiada sebarang pengetahuan syariat Islam, menerima umpan kebendaan daripada UMNO, termasuk dituduh menggesa Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercerai dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau mendakwa pada sekitar 20 hingga 21 Mei 2011, ketiga-tiga pemimpin PKR, pada satu sidang akhbar di Galeri Pejuang, Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam, dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, kecaman berbentuk peribadi serta tuduhan tidak berasas yang bertujuan mengaib, menjatuhkan maruah, nama baik dan reputasinya.

Sementara itu, Aminah, yang ditemani anggota keluarga serta rakannya, ketika ditemui di luar mahkamah, melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan itu.

"Kak Min rasa bersyukur... apa yang penting ialah moral dan maruah, Kak Min mahu kemenangan sahaja," katanya.

Aminah diwakili peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar manakala defendan oleh peguam VS Raveentharan.- BERNAMA

Tiada ulasan: