Asalkan Bukan Umno (ABU) hari ini menyatakan, badan itu akan berusaha menarik penyertaan NGO lain ke konvoi mega pada 2 dan 3 Oktober depan bagi menyatakan sokongan kepada tuntutan bayaran royalti minyak Kelantan.

Salah seorang penggerak gabungan NGO tersebut, Badrul Hisham Shaharin berkata tuntutan itu perlu disokong memandangkan tuntutan bayaran royalti daripada hasil minyak Kelantan adalah isu nasional dan bukan hanya tuntutan daripada warga negeri tersebut.

NONEPengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, seramai kira-kira 30 NGO telah menyatakan persetujuan untuk menyertai konvoi berkenaan setakat ini.

"Isu royalti Kelantan bukan sekadar isu negeri tetapi isu nasional kerana ia melibatkan kedaulatan negara apabila minyak dan gas hak milik negeri Kelantan bukan sahaja telah didaratkan di luar negeri Kelantan, malah ia didaratkan di negara jiran.

"Ini satu pengkhianatan kepada negara dan sebagai rakyat Malaysia, semua individu dan NGO wajar memberi sokongan padu kepada usaha mengembalikan hak rakyat negeri Kelantan khususnya, yang juga hak negara ini amnya.

"Demi memberi tekanan terhadap tuntutan keadilan maka SAMM akan menggerakkan jentera anak muda dan sekutu bagi memastikan penyertaan besar Konvoi Mega 'R' bermula 2 Oktober ini.

Menurutnya, konvoi pertama pada 2 Oktober akan berakhir di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang akan turut disertakan dengan program ceramah oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Konvoi pada hari berikutnya pula akan berakhir di Putrajaya, bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan Kelantan dalam satu kes saman ke atas Petronas di Mahkamah Persekutuan berhubung tuntutan bayaran royalti tersebut, kata Badrul Hisham.

Konvoi berkenaan merupakan anjuran Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (R) yang dinaungi kerajaan negeri.

Selain itu, konvoi berkenaan juga bagi menyerahkan memorandum berhubung tuntutan tersebut, yang ditandatangani 150,000 individu, kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Perbicaraan tersebut berlangsung pada 2, 3 dan 4 Oktober.

Kerajaan negeri pada 30 Ogos lalu memfailkan saman ke atas Petronas kerana gagal membayar royalti minyak dan gas yang diperolehi daripada kawasan jajahan negeri tersebut dan juga kawasan yang bertindih dengan Terengganu, Thailand dan Vietnam.