Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menemui sekurang-kurang 18 isu yang didakwa "tidak selari" dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak yang ditandatangani kerajaan Malaysia pada 1995, sejak lima tahun kebelakangan ini.

Isu itu dirumuskan selepas suruhanjaya itu membuat tinjauan terhadap kanak-kanak Orang Asli di pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak, sekolah agama rakyat (SAR) di Pahang dan Selangor serta sekolah kebangsaan Tamil di kawasan ladang dan estet di Perlis dan Kedah bermula tahun 2007.

Antara isu yang diterokai berkaitan pengangkutan dan jalan perhubungan murid di kawasan ladang dan pedalaman ke sekolah, kemasukan sekolah tanpa sijil kelahiran atau kad pengenaan dan kekurangan kemudahan fizikal dan kelengkapan persekolahan serta kegagalan mendapat air bersih.

"Kanak-kanak perlu diberi perlindungan, perkembangan, penghidupan dan penyertaan. Dalam membuat peraturan, polisi atau pelaksanaan perlu mengambil kira perkara ini.

"Tidak (boleh) ada diskriminasi, apa sahaja yang dibuat mestilah (mengambil kira) kepentingan kanak-kanak," kata Pegawai Bahagian Pendidikan dan Perhuhungan Awan Suhakam Hasmah Abd Manaf.

Turut hadir dalam sidang media tersebut dua pesuruhjaya Suhakam Muhamad Sha'ani Abdullah dan James Nagayam.