Isnin, 6 Ogos 2012

Waytha: Saya ada strategi lain untuk Hindraf

Nigel Aw


 
Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy berkata beliau akan membawa pergerakan itu ke haluan tidak berpihak namun menafikan wujud perbalahan dengan abangnya, P Uthayakumar, yang mengepalai pergerakan itu semasa beliau berada di luar negara.

"Tidak, kami tiada masalah. Anda perlu faham bahawa kami mempunyai strategi dan pendekatan berbeza. (Uthayakumar) bebas dalam pemikirannya dan saya juga begitu," katanya selepas menghadiri perhimpunan bersama 1,500 penyokong Hindraf hari ini.

Katanya lagi, perbezaan pendapat biasa berlaku dalam organisasi besar.

Ditanya mengenai rancangan Uthayakumar untuk membawa pergerakan serpihan Hindraf, Parti Hak Asasi Manusia (HRP) bertanding dalam pilihan raya akan datang, Waythamoorthy berkata perkara itu perlu ditanya kepada Uthayakumar sendiri.

"Saya pasti dia mempunyai strategi dan saya pasti dia tahu apa yang dilakukannya dan saya tidak akan masuk campur, tetapi strategi saya tentunya berbeza," katanya.

Waythamoorthy berkata platform beliau sejak dahulu lagi bukan dalam bentuk parti politik dan membawa isu masyarakat India miskin, dan ini akan diteruskan di bawah kepimpinannya.

Perhimpunan hari ini merupakan yang pertama dalam siri jelajah Hindraf selepas kepulangan Waythamoorthy pada 1 Ogos lalu.

Tiada ulasan: