Ahad, 26 Ogos 2012

Umno penghalang hudud

 
Menurut Datuk Mahfuz Omar, sekalipun DAP bersetuju dengan pelaksanaan hudud, Umno tetap menghalang dan sejarah membuktikan perkara ini



PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa Umno tetap menjadi batu penghalang terhadap pelaksanaan hukum Hudud yang diinginkan oleh PAS.

“Kalau DAP bermesyuarat dan menerima pelaksanaan hudud sekalipun, PAS masih tidak boleh melaksanakannya kerana dihalang kerajaan pusat pimpinan Umno/BN,” kata Mahfuz yang juga ialah ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan  bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang mencadangkan PAS keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya gagal melaksanakan hukuman Hudud di bawah Pakatan Rakyat.

Mahfuz turut mempertahankan kerjasama PAS dan DAP yang diakuinya baik kerana wujud perkara kebersamaan.

“DAP dan PAS menentang pelaksanaan judi bola sepak.

“Kerajaan Umno beri lesen. Vincent Tan cadang saja. Umno terus ikut telunjuk Tan,” kata Mahfuz merujuk kepada cadangan projek judi oleh jutawan Vincent Tan dua tahun lalu.

Beliau turut menjelaskan usaha-usaha Umno menjadi penghalang kepada pelaksanaan hudud di Kelantan dua dekad lalu.

Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan diluluskan dalam tahun 1993.

“Ketika itu Perdana Menteri Datuk Seri  Dr Mahathir Mohamad menghantar surat kepada kerajaan Kelantan untuk menghalang pelaksanaan hudud,” kata Mahfuz.

Tiada ulasan: