Setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa pemimpin parti itu supaya tidak menjadi penghalang dan melepaskan jawatan mereka sekiranya tidak lagi mampu menjalankan tugas.

"Kalau kita tahu dah tak boleh buat, lebih baiklah kita berhenti dan bagi kepada orang lain yang ingin melaksanakan untuk teruskan perjuangan," katanya dalam satu wawancara disiarkan Utusan Malaysia edisi Ahad.

Tengku Adnan menegaskan bahawa kepentingan parti itu perlu melampaui kepentingan peribadi, namun teguran seperti itu tidak termakan oleh sesetengah pemimpin Umno tertentu, katanya.

"Saya sendiri telah mendapat pelbagai kritikan oleh kerana teguran yang telah saya lakukan. Ini sindrom tidak mahu terima apa yang kita tegur.

"Dia fikir dia sahaja yang betul manakala kebenaran adalah pahit. Apa lagi kebenaran itu akan menggoncang pemimpin tertentu. Maka akan gelabahlah dia macam ketua menteri dan menteri besar tertentu," katanya.

Tengku Adnan bagaimanapun tidak menamakan pemimpin Umno yang dimaksudkannya itu.

"Mereka cuba menidakkan kebenaran," katanya lagi yang menjelaskan bahawa beliau menerima maklumat berhubung masalah di negeri terbabit melalui saluran rasmi dan juga saluran tidak rasmi parti.

Beliau menegaskan bahawa tegurannya itu bukan disebabkan perasaan benci terhadap pemimpin terbabit, tetapi demi kepentingan parti.