Rabu, 15 Ogos 2012

Syabas Enggan Kerjasama Tubuh Audit Bebas


PETALING JAYA : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dilihat tidak berminat untuk bekerjasama dalam penubuhan audit bebas bagi mengkaji data-data terperinci untuk diberitahu umum berhubung masalah bekalan air di negeri itu.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Syabas tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung cadangan daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid itu.

Katanya, sebelum ini, Kerajaan Negeri sudah memaklumkan beberapa syarikat yang layak untuk dipertanggungjawab menjadi audit bebas.

Beliau berkata cadangan itu sudah dimaklumkan kepada Syabas sebulan yang lalu, bagaimanapun, tiada kerjasama dari pihak Syabas.

“Ia perlu dilaksanakan segera agar rakyat tidak keliru dengan perbezaan kajian yang dibuat.

“Data-data syarikat-syarikat konsesi perlu diaudit kerana ia berbeza-beza. Jadi kena perlu penjelasan.

Bukan sahaja mengenai statistik tetapi juga dari segi kewangan supaya kita dapat satu gambaran perlaksanaan penyelesaian akan datang.

“Kita harap pihak berkenaan mengakui cadangan dan kerjasama dalam usaha ini kerana data-data yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) diperolehi daripada syarikat konsesi, Syabas . Jelas beliau di Majlis Dialog Air Selangor di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Tiada ulasan: