Sabtu, 11 Ogos 2012

Sabah dan Sarawak juga mahukan perubahan?

Aspan Alias,

Sejak beberapa minggu yang lepas Sabah menjadi negeri masyarakat politik dan dengan pengisytiharan dua orang MP BN keluar daripada BN sudah menyebabkan Sabah menjadi negeri yang akan pasti menghadapi krisis bagi BN dan itu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Dengan apa yang berlaku di Sabah itu semua pihak melihat Najib sebagai pemimpin yang sudah hilang keyakinan dari Sabah.

Krisis yang sedang dihadapi oleh Najib dan BN yang dipimpinnya itu sudah mula merebak di Sarawak pula. Sebenarnya Sarawak merupakan negeri yang paling mudah untuk mengambil keputusan meninggalkan BN kerana di Sarawak tidak ada UMNO yang menjadi tulang belakang BN itu. UMNO dan BN sudah begitu rapuh dan keadaan ini tidak memungkinkan BN Sarawak pimpinan PBB juga mempunyai keyakinan terhadap BN pusat pimpinan Najib.

Sarawak mampu untuk mengambil sikap bersendirian kerana Najib dan kepimpinan UMNO tidak mempunyai hubungan dengan UMNO. Parti-parti di Sarawak hanya menjadi anggota BN dan jika 14 ahli Parlimen PBB mengambil sikap untuk menyokong BN usaha itu amat mudah dilakukan. Jika PBB, PRS dan SPDP mengambil sikap yang ‘independent’ dan tidak bersama BN mereka tetap boleh mentadbir negeri itu tanpa ada hubungan dengan UMNO. Parti-parti BN di Semenanjung tidak wujud di Sarawak pada hakikatnya.

Yang penting bagi 3 parti yang bergabung di dalam BN Sarawak boleh berdiri sendirian tanpa BN pusat dan mengambil sikap bekerjasama dengan Pakatan Rakyat khususnya DAP yang mempunyai kekuatan di kawasan bandar di negeri itu.

Di Sarawak hanya parti-parti di dalam Pakatan Rakyat seperti DAP, PKR dan sedikit kehadiran PAS dan ini memudahkan parti-parti dalam gugusan BN Sarawak untuk mengambil sikap bekerjasama dengan Pakatan Rakyat. Kalau kepimpinan Sarawak hendak mengelakkan mereka daripada ditolak oleh rakyat maka menyertai PR adalah jalan yang selari dengan kehendak rakyat di sana. Jika parti-parti di Sarawak tidak menyertai PR maka parti-parti itu terpaksa berhadapan dengan tekanan dari rakyat sendiri dan ini akan menambah masalah untuk mengekalkan kewajarannya untuk kekal di hati rakyat Sarawak.

Perlu diingat bahawa kaum Cina di Sarawak pada hakikatnya sudah menolak SUPP parti yang dahulunya didominasi oleh kaum itu, telah mengambil sikap untuk menyokong DAP dan Pakatan Rakyat dan jika Taib serta pimpinan yang lain masih kekal dengan BN pusat maka mereka sendiri akan dihanyutkan oleh ombak perubahan yang sudah merata di negara ini termasuk di Sarawak.

Ramai dapat merasakan keadaan di Sarawak dan Sabah ini akan menyebabkan BN kehilangan kubu-kubu kuat mereka (BN) dan ia juga akan menambah keyakinan ramai bahawa pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya yang paling bersejarah kerana buat pertama kalinya BN yang sudah memerintah begitu lama akan menghadapi kekalahan di tangan rakyat. Tetapi kekalahan BN itu tidaklah menjadi satu isu yang besar kerana dalam demokrasi kemenangan dan kekalahan itu sudah menjadi perkara biasa.

Rakyat serius dalam mencari kelainan melalui perubahan kuasa kerana perubahan itu merupakan perkara penting dalam pembinaan negara. Perubahan wajib berlaku dan tidak ada bukti yang nyata setakat ini yang menunjukkan bahawa dalam sesuatu demokrasi lambat laun parti yang memerintah akan mengambil giliran untuk menjadi pembangkang.

Walaupun UMNO mempunyai formula untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat tetapi pimpinan keseluruhan parti itu tidak mahu untuk melakukannya kerana tamakkan kuasa dari ingin melihat parti itu relevan pada mata rakyat.

Semua orang tahu yang formulanya ialah dengan mengambil sikap ‘drastic’ dengan keseluruhan pimpinan tertinggi parti mengundurkan diri dan memberikan kepimpinan kepada seseorang yang berpengalaman dan diterima oleh rakyat berbilang kaum, bukannya setakat diterima oleh ahli-ahli UMNO sahaja.

Perlu kita terima kenyataan bahawa penolakan rakyat terhadap UMNO itu adalah kehendak pimpinan UMNO itu sendiri bukannya saja-saja rakyat menolaknya. Seperti mana parti-parti kerajaan yang besar-besar di dunia ini UMNO juga adalah parti yang telah menjadi sebuah parti dalam mana pemimpin-pemimpinnya telah kufur nikmat yang ketara.

Rakyat sudah hilang kesabaran setelah menahan ragam dan laku UMNO selama ini. Rakyat sudah tidak mampu untuk memujuk hati-hati mereka untuk memaafkan apa yang telah dilakukan oleh UMNO sejak tiga dekad yang lalu.

Sekarang rakyat terpaksa melakukan perubahan dan perubahan itu adalah wajib untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah kehancuran. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

8 ulasan:

Unknown berkata...

Sesiapa pun mahukan perubahan yang positif.

Unknown berkata...

Perubahan yang ingin dicapai bergantung kepada tindakan rakyat Sabah Sarawak sendiri.

Mumbai berkata...

jangan terlalu yakin sangat.. betulkah umno ditolak rakyat?? ketika PRN Sarawak, cuma DAP saja yang menonjol.. PAS dan PKR masih jauh untuk mendapat tempat dihati rakyat Sarawak..

Mumbai berkata...

di Sabah pula, Pakatan semakin hilang peluang untuk merampas kerajaan negeri kerana mereka terpaksa berhadapan dengan saingan pembangkang tempatan seperti SAPP dan STAR..

Mumbai berkata...

jika Pakatan mempunyai peluang yang cerah, dan jika benar umno telah ditolak oleh rakyat, takkan Anwar begitu terdesak menghasut pemimpin2 BN untuk keluar menyertai parti beliau??

mantera berkata...

semua pun inginkan perubahan yang baik, tapi ia tak brmakna ia perlu sokong pembangkang.

mantera berkata...

biar rakyat sendiri mementukannya.

Unknown berkata...

Hanya peti undi yang akan menentukan perubahan. Rakyat perlu membuat pilihan yang terbaik demi untuk masa depan negara.semoga tidak tersilap langkah.