Jumaat, 3 Ogos 2012

Polis tembak gas pemedih mata ketika peserta mahu bersurai – Saksi

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR : Panel siasatan pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diberitahu, polis melepaskan gas pemedih mata ketika orang ramai di sekitar Masjid Jamek mahu meninggalkan perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Saksi ke 21, Hee Jen Wei, 25, berkata, keadaan di kawasan tersebut bertukar kelam kabut sebaik gas pemedih mata dilepaskan sekitar jam 3.00 petang.

“Orang ramai mulai panik. Mereka lari bertempiaran hingga menyebabkan kawasan itu sesak,” kata anak kelahiran Kuantan itu lagi.

Menurut Jen Wei, selepas menyaksikan keadaan tidak terkawal, beliau memutuskan untuk pulang ke hotel di sekitar Masjid Jamek.

Jen Wei berkata, beliau dan seorang rakan telah pergi ke kafeteria hotel berkenaan untuk berehat dan minum petang.

“Tiga puluh minit kemudian, sekumpulan polis menyerbu kafeteria itu dan menjerit ‘You ikut saya’. Saya tanya apa kesalahan saya.

“Polis tersebut menjerit lagi ‘You ikut saya! Pada ketika itu, kami memakai baju T Bersih 3.0. Mereka tidak menjawab soalan saya sebaliknya bertindak kasar,” katanya pada sidang ke-9 semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan diketuai Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee, dibantu Pesuruhjaya, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Bercerita lanjut, Jen Wei berkata, beliau dibawa ke Dataran Merdeka. Ketika dalam perjalanan, beliau telah dipukul menyebabkan kecederaan serius di kaki.

Katanya, polis tanpa belas kasihan memaksanya berlari walaupun mengetahui kakinya kesakitan.
“Saya tanya kepada polis untuk menghubungi keluarga ataupun rakan. Tetapi polis mengherdik saya supaya tidak berbuat demikian.

“Selepas berada di Royal Selangor Club selama 40 minit, kami dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui. Bila saya sampai, seorang tahanan memberitahu ia adalah Pusat Latihan Polis (Pulapol),” katanya.

Menurut Jen Wei, beliau dibebaskan pada jam 4.00 pagi keesokannya dan dihantar ke sekitar Jalan Duta, sebelum menghubungi rakan untuk menjemput beliau.

Tiada ulasan: