Rabu, 15 Ogos 2012

Polis jangka penghadang dirempuh anggota preman

Oleh Aedi Asri


KUALA LUMPUR- Assistan Superitenden Polis (ASP) Ahmad Jais Usang daripada Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tidak menolak kemungkinan penghadang di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja dirempuh polis berpakaian preman.

“Yang saya tahu bukan polis. (Tapi) kemungkinan itu ada,” katanya apabila disoal wakil peguam berhubung perkara itu semasa pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Beliau sebelum itu bersetuju apabila peguam menyatakan ada polis yang berpakaian preman tanpa memakai jaket polis, menyebabkan sukar membezakan pasukan itu dengan peserta himpunan dan orang awam.

Apabila disoal pengerusi panel, Datuk Dr Khaw Lake Tee, Ahmad Jais juga tidak pasti sama ada suspek yang merempuh penghadang itu dibawa ke mahkamah.

Ahmad Jais juga maklum dengan penahan suspek, tetapi tidak pasti sama ada sejurus selepas penghadang dirempuh atau pada waktu berlainan.

Suasana aman semasa perhimpunan Bersih 3.0 tempoh hari menjadi kecoh apabila Unit Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta selepas penghadang dirempuh.

Beliau juga mengaku bahawa keadaan di sekitar Dataran Merdeka dan Dataran Maybank sangat sesak dan tidak tahu laluan yang selamat untuk peserta bersurai.

Semasa sesi pendengaran 9 Ogos lalu, pegawai FRU, ASP Alekzandra Dawam berkata, unitnya melepaskan 112 gas pemedih mata semasa perhimpunan itu.

Tiada ulasan: