Rabu, 15 Ogos 2012

Perkasa mahu buat filem tentang Anwar

KL TODAY

 


Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mahu filem kontroversi Tanda Putera ditayangkan tanpa sebarang tapisan dan pihaknya akan memberi sokongan padu kepada Pengarahnya, Datuk Paduka Suhaimi Baba.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata filem yang dikatakan mempunyai unsur perkauman oleh Pakatan Rakyat (PR) adalah tidak benar kerana filem itu dibuat berdasarkan sejarah.Menurutnya PR tidak perlu mempersoalkan plot ceritanya walaupun ada adegan yang menimbulkan sensitiviti kepada masyarakat kerana itu berkaitan dengan sejarah.

“Kami akan berunding dan membantu pengarah filem Tanda Putera itu untuk meneruskan penyiarannya tanpa ’sensor’.

“Filem itu berkaitan sejarah, bagaimana plot atau adegannya walaupun agak kontoversi, kita tak boleh nak ubah sejarah dan PR tak perlu nak jadikan itu isu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Sebelum ini, PR menyatakan filem arahan Suhaimi itu bakal menimbulkan kembali semangat dan menegangkan kembali hubungan perkauman di Malaysia seperti kejadian 13 Mei dahulu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata sebolehnya filem tersebut ditayangkan dahulu kepada pemimpin PR sebelum ditayangkan kepada masyarakat untuk dinilai dan diberi pandangan.

Beliau juga mendesak kerajaan supaya membuat penapisan dan memilih filem yang sesuai untuk ditayangkan di negara ini.

Sementara itu, Ibrahim berkata pembangkang tidak seharusnya menjadikan filem sejarah ini sebagai agenda lain untuk kepentingan parti sendiri.

“Jangan jadikan hal ini untuk kepentingan parti, filem berunsur Sejarah ini perlu ditayangkan untuk rakyat ingat semula dan menghayati keamanan negara dan jangan berfikir negatif sahaja.

“Saya cadang kalau PR masih nak isukan filem ini, saya akan buat filem Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pula selepas ini,” katanya lagi dalam nada bergurau.

Menurutnya, filem yang berkaitan sejarah seharusnya diperluaskan untuk rakyat menghayati sejarahnya bukan memberi gambaran yang negatif terhadap usaha itu.

Tiada ulasan: