Selasa, 7 Ogos 2012

Pemuda PAS mahu SPRM siasat Awang Adek

Hazayani Zakaria,
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok berhubung dakwaan rasuah membabitkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin.

Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) berkata, selepas tempoh seminggu diberikan kepada Awang Adek untuk membuat penjelasan berhubung dua keping cek bernilai RM80,000 yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau, Awang Adek hanya mendiamkan diri.

"Seseorang pimpinan utama rakyat mestilah menepati kualiti dan kriteria seorang pimpinan. Skandal yang melibatkan Senator Datuk Dr Awang Adek adalah satu isu yang berkaitan dengan integriti seseorang pimpinan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, DPPP akan ke SPRM di Putrajaya jam 10 pagi esok untuk membuat laporan agar SPRM menjalankan siasatan segera ke atas Awang Adek.

"DPPP berharap agar pihak SPRM dapat membuat siasatan sebaik mungkin mengenai isu yang melibatkan integriti seseorang pimpinan ini," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Pada 12 Julai 2012, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mendedahkan 2 keping cek yang berjumlah RM80,000 secara keseluruhannya atas nama Datuk Awang Adek dan didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Datuk Awang Adek diminta untuk menjelaskan apakah terdapat skandal rasuah daripada transaksi wang yang sebegitu besar ke dalam akaun beliau pada ketika beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera dan merangkap Timbalan Menteri Kewangan Malaysia oleh sebuah syarikat yang berkepentingan.

Pada 31 Julai 2012 yang lalu, DPPM sekali lagi tampil membuat pendedahan yang lebih terperinci beserta beberapa dokumen penting.

Dokumen yang berada di pihak DPPP menguatkan lagi dakwaan bahawa Awang Adek terlibat dalam skandal rasuah kerana kedua cek yang bernilai RM80,000 sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak pengurusan kemudahan di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral oleh Syarikat Advance Maintenance Precision Management Sdn Bhd. (AMPM).

Tiada ulasan: