Isnin, 6 Ogos 2012

Pas ajak bukan Islam bincang Negara Berkebajikan

Jamilah Hamzah

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
 
 
GOMBAK - Pas mempelawa pemimpin parti lain terutama bukan Melayu untuk berganding membincangkan dasar Negara Berkebajikan - pendekatan yang diketengahkan parti itu Jun tahun lalu, secara menyeluruh.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, orang bukan Melayu atau bukan Islam diberi peluang untuk bersama membangunkan dasar pembangunan Negara Berkebajikan melalui konsep keadilan dibawa pihaknya - komponen Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, kaum-kaun lain selain Melayu yang menjadi sebahagian komposisi negara ini akan bersama menjadi pendukung bagi menggerakkan sesebuah negara terutamanya Malaysia.

"Kita buka peluang kepada orang bukan Melayu untuk turut serta berbincang tentang dasar-dasar Negara Berkebajikan ini.

"Mereka juga adalah segmen masyarakat yang akan jadi pendukung dalam pembentukkan sesebuah negara," kata beliau pada program pelancaran Seminar Prof. Zulkifli Muhammad Membangun Negara Berkebajikan di markas Pas di Taman Melewer di sini, hari ini.

Sebelum ini, pesaingnya Barisan Nasional (BN) mengecam idea lanjutan yang dikemukakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar presiden pada muktamar Jun 2011.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas memerlukan sokongan orang bukan Islam untuk mendirikan kerajaan disebabkan kemampuan orang Melayu masih lagi kurang mampu.

"Pas memerlukan sokongan golongan bukan Islam kerana orang Melayu tak mampu dirikan kerajaan tanpa kaum lain.

"Kita akan buat juga buku Negara Berkebajikan dengan pelbagai bahasa supaya rakyat lebih mudah memahami," katanya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, tiga aspek akan dimasukkan ke dalam buku Negara Berkebajikan, sekali gus menjadikannya sebagai sebahagian intipati manifesto PR.

Tiga aspek itu ialah pemilikan rumah oleh rakyat, implimentasi sistem percukaian dan dasar hiburan di kalangan anak muda.

Menurutnya, hasil daripada komunikasi dua hala antara rakyat dan pemimpin akan diperhalusi dan dijadikan polisi untuk menjadikan panduan bagi menjalankan ketiga-tiga dasar itu.

"Kita ada tiga cadangan dasar baru yang bakal dimasukkan ke dalam buku Negara Berkebajikan itu.

"Kita ada selenggara dan buat kemasan dalam masa tiga bulan supaya sesuai dengan keadaan negara yang mempunyai masyarakat majmuk tapi perbincangan semula antara masyarakat diperlukan untuk diperhalusi keperingkat tinggi," katanya.

Salahuddin berkata, dasar yang dinyatakan itu akan dibahas secara umum antara rakyat dan pemimpin dengan adil supaya keperluan rakyat boleh didengari.

"Keadilan yang dibawa oleh Pas akan dilakukan dalam membahaskan dasar serta polisi-polisi yang akan dijadikan bahan rujukan oleh semua rakyat di dalam buku Negara Berkebajikan nanti.

"Segala yang dibahaskan akan diperhalusi dan masalah rakyat akan didengari," katanya lagi.

Tiada ulasan: