Rabu, 8 Ogos 2012

P Pinang pertahan bina hospital, sedia tanah untuk rumah rakyat

Oleh Mohd Martin Kahar


GEORGETOWN : Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Osman menempelak Pengerusi BN Negeri, Teng Chang Yeow kerana menipu rakyat kononnya parti itu memperuntukkan tanah 0.4 hektar di Jalan Zainal Abidin di sini untuk dibangunkan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Mereka tidak pernah mengumumkan peruntukan itu ketika memerintah Pulau Pinang sebelum ini. Sama ada dalam surat khabar ataupun secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.

Penegasan ini bagi mempertahan tindakan Pakatan Pulau Pinang membangunkan hospital swasta di kawasan itu.

Sebelum ini, Teng mendakwa tindakan kerajaan negeri menjual tanah itu untuk dibangunkan hospital swasta adalah tidak bertanggungjawab kerana cuba meminggirkan golongan miskin daripada mendapat peluang mendiami rumah rakyat.

Mansor berkata, kawasan tersebut sepatutnya dibangunkan dengan PPR Taman Manggis Fasa II, seperti yang dirizabkan oleh BN sebelum ini.

Mengulas isu itu, Mansor berkata, kerajaan negeri memperuntukkan tanah yang lebih luas iaitu 4.2 hektar di Jalan S.P. Chelliah untuk perumahan mampu milik.

“Ia 10 kali ganda lebih luas daripada apa yang diperuntukkan BN,” katanya.

Mansor menyokong hospital itu dibangunkan bagi mengembangkan industri pelancongan perubatan di negeri itu.

Beliau turut menafikan dakwaan Teng kononnya syarikat swasta mengemukakan pelan perancangan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

“Lesen hospital swasta penuh (yang didakwa) telah diluluskan kepada pemohon di Jalan Zainal Abidin sebenarnya hanya surat tanpa halangan diterima pada 12 Julai lalu dan bukanlah lesen,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mansor turut menyelar Teng yang berjanji untuk menghapuskan lesen penjaja jika Umno BN kembali berkuasa.

Beliau berkata, BN tak pernah kurangkan satu sen semasa berkuasa berbanding dengan pengurangan 50 peratus lesen penjaja di bawah Pakatan.

“Malah pemansuhan lesen penjaja tidak pun dilaksanakan baik dalam negeri di bawah pemerintahan BN mahupun oleh Kerajaan Persekutuan. Mengapa Teng tidak pula mencadangkan cukai individu dihapuskan sama sekali,” sindirnya.

Tiada ulasan: