Khamis, 30 Ogos 2012

NGO Islam buat laporan polis terhadap Karpal, Donald Lim

 
Abdul Rahim Sabri


 
Sebuah gabungan NGO Islam hari ini membuat laporan terhadap dua pemimpin politik kerana didakwa membuat kenyataan yang bersifat menghasut dan menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat awam tentang kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam laporan polis itu dibuat Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) - gabungan 40 NGO Islam - terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim.

Dalam laporannya,  Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahya mendakwa kenyataan Karpal itu dilaporkan oleh The Malaysian Insider dan The Star Online.

NONEMenurutnya, kenyataan tersebut disiarkan dengan tajuk "Hudud can't be implemented in secular Malaysia" (Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia yang sekular) dan "PAS defying constitution by declaring Islamic State" (PAS tentang perlembagaan kerana isytihar Negara Islam).

Manakala kenyataan Donald  pula dilaporkan dalam portal Malaysiakini.com, bertajuk "MCA Selangor: Pilih kami, kami akan halang jadi negara Islam".
Dalam kedua-dua laporan itu Karpal dilapor mendakwa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia yang dianggapnya sebagai sebuah negara sekular.

Manakala Donald pula dilapor berkata jika Selangor dan negeri-negeri lain di negara ini dikuasai atau kekal di bawah pemerintahan BN, ia tidak akan menjadi negara Islam.
Dalam laporan polis itu, Aminuddin mendakwa ketiga-tiga artikel berkenaan "berniat jahat serta mengelirukan masyarakat awam".

Sehubungan itu, Aminuddin berkata laporan polis itu dibuat bagi membolehkan polis menyiasat kenyataan kedua-dua pemimpin itu mengikut Akta Hasutan atau undang-undang yang bersesuaian demi menjaga ketenteraman awam.

Laporan itu dibuat di ibupejabat polis Dang Wangi kira-kira jam 2.05 petang tadi di mana Aminuddin mengetuai kira-kira 20 anggota NGO gabungan itu yang turut hadir untuk memberi sokongan.

Dalam sidang media selepas itu, Aminuddin menempelak kedua-dua pemimpin politik itu termasuk mana-mana pihak yang sealiran dengan mereka yang didakwanya membiarkan kenyataan "tidak berwibawa dan berprasangka jahat" terhadap Islam dibuat.

VIDEO l 2.32 mins

Tiada ulasan: