Jumaat, 31 Ogos 2012

Mesej Merdeka: Anwar tuntut PRU13 bersih dan adil

NURUL AINI MOHAMED ALI

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim ketika sedang berucap pada Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - Foto Sinar Harian oleh Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki 
 
SHAH ALAM -  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat (PR) mahukan pilihan raya yang bersih dan adil, dan sehubungan itu, menyeru agar tidak ada sebarang "unsur penindasan" dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Berucap pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat Selangor di sini malam tadi, Anwar berkata, pilihan raya umum mestilah bersifat adil seperti yang pernah dituntut oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

"Saya seru agar PRU13 nanti tiada unsur penindasan. Jadi ia mesti bersih dan adil. Inilah kebebasan sebenar yang kita mahu," katanya pada sambutan yang diadakan Dataran Kemerdekaan di sini.

Tambah beliau, kemerdekaan negara merupakan satu kebebasan yang harus dihayati oleh setiap rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia harus tahu yang penjajahan dan unsur imperialisme merupakan unsur penindasan yang perlu dielakkan terutama sekali dalam PRU13," tegasnya.

Beliau yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berkata, erti kemerdekaan harus dihayati oleh generasi muda.

"Saya menyeru agar generasi muda negara ini menghayati erti kemerdekaan negara kerana budaya menghayati semangat merdeka harus ditentukan oleh rakyat sendiri," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bertekad untuk memperoleh kemenangan dalam PRU13 dan itu sebabnya kerajaan-kerajaan negeri pimpinan (PR) iaitu Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah bersetuju menggunakan Sebangsa, Senegara dan Sejiwa sebagai tema menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini.

Menurut Khalid, tema ini wajar disebarkan sebagai usaha menggalakkan bukan saja rakyat di negeri pimpinan PR, tetapi semua negeri lain agar sentiasa bersama dan bekerjasama untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu.

"Setiap warga negara juga wajar sama-sama menikmati hasil sumber negara ini, bebas bergerak dan bersuara sebagai rakyat yang sudah merdeka tanpa dikurangkan hak semata-mata perbezaan kaum,agama atau fahaman politik," katanya semasa.

Beliau turut melahirkan rasa kurang senang apabila berlaku ketidakadilan dari segi persamaan hak terhadap negeri-negeri dipimpin PR.

"Kita dapat lihat berlaku keadaan yang tidak adil apabila Kelantan tidak mendapat hak mereka sendiri dan sering gagal menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau turut menegaskan yang rakyat Malaysia berhak mendapat layanan adil dan sama rata dalam menikmati limpahan daripada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara tanpa sebarang diskriminasi.

"Saya turut bersyukur kerana walaupun pembangunan negeri PR dinafikan oleh Kerajaan Pusat, namun ekonomi dan pembangunan negeri di bawah pimpinan PR menunjukkan peningkatan dari segi rizab negeri dan nilai pelaburan," ulasnya.

Sebanyak 56 kontinjen menyertai perarakan pada sambutan malam tadi, terdiri daripada badan kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan di negeri Selangor.

Tiada ulasan: