Selasa, 7 Ogos 2012

Merdeka: Negeri Pakatan guna logo sama

Muhammad Faizal,

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan semua negeri Pakatan Rakyat akan menggunakan logo alternatif yang sama sempena sambutan hari Kemerdekaan.

Logo sama itu juga turut akan digunakan oleh Kedah dan Kelantan biarpun tema yang dipilih negeri itu berlainan dari tema yang ditetapkan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Katanya perbezaan tema di kedua-dua negeri itu dengan tema Pakatan Rakyat berlaku memandangan negeri Kelantan dan Kedah telah memutuskan lebih awal melalui mesyuarat kerajaan negeri.

"Kita telah berbincang perkara ini dua minggu lepas namun bagi Kelantan dan Kedah telah memutuskannya lebih awal.

"Keputusan kedua-dua negeri tersebut telah diputuskan di dalam mesyuarat kerajaan negeri masing-masing kerana mereka tidak mahu menggunakan tema yang diputuskan oleh kerajaan pusat," jelasnya.

Tambahnya lagi, Pakatan Rakyat telah membuat keputusan bahawa Kelantan dan Kedah akan menggunakan tema berlainan setelah melihat segala persiapan yang dilakukan oleh kedua-dua negeri.

"Namun diperingkat parti (Pakatan Rakyat), kita telah mengambil keputusan bahawa logo yang akan digunakan adalah selaras pada setiap negeri.

"Yang hanya membezakannya adalkah dari segi tema sahaja," tambahnya.

Mustafa berpendapat, setiap apa yang diputuskan pada mesyuarat kerajaan negeri tidak boleh dipinda dan ia sudah terkandung dalam agenda mesyuarat kerajaan negeri.

Pakatan Rakyat sebelum ini memutuskan memilih tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' dan akan digunakan sebagai tema di negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Selangor dan Pulau Pinang.

Manakala Kelantan pula memilih 'Menerajui Perubahan', dan Kedah pula dengan tema 'Terus Berbakti'.

Tiada ulasan: