Selasa, 7 Ogos 2012

Menteri kempen politik guna pos kerajaan

Khairil Abdul Rahim,
KUALA LUMPUR: Sebuah blog mendedahkan Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menggunakan dana kerajaan untuk tujuan kempen politik dengan mensasarkan pengundi di parlimennya.
(Sampul surat yang digunakan Khaled untuk kempen)

Blog Era Pasca mendakwa Ahli Parlimen Pasir Gudang itu telah menggunakan sampul surat rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dibayar kerajaan dengan setem RM0.70 untuk menghantar surat rayuan kepada graduan yang bakal mengundi di Parlimen Pasir Gudang.

Graduan-graduan tersebut adalah pengundi baru yang telah didaftarkan di Kawasan Parlimen Pasir Gudang.

Dalam surat rayuannya itu Khaled telah merayu pengundi pertama kali itu agar mengundi BN pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang ini dengan propaganda hanya BN boleh membawa negara ke tahap tertinggi.

Tidak cukup dengan itu, surat berstatus ‘Seri Paduka Baginda’ yang dipos dari pejabat menteri tersebut di Johor Bahru itu dilampirkan dengan risalah sebagai tarikan untuk mereka datang ke Karnival Kerjaya Pemuda BN 2012 yang akan diadakan di Pasir Gudang.

(Surat Khaled untuk pengundi kali pertama di kawasannya menggunakan stem kerajaan)

Blog tersebut menyebut, dari segi logik akal graduan-graduan terbabit akan datang ke karnival berkenaan bukan kerana menyokong BN tetapi untuk memantau peluang dan prospek kerjaya yang dipamerkan.

Serentak dengan itu Umno didakwa dalam keadaan amat terdesak sehingga terpaksa menggunakan pelbagai cara bagi tujuan kempen masing-masing.

Apa yang dikhuatirkan ialah pemimpin Umno daripada pelbagai peringkat sentiasa menganggap harta kerajaan sebagai harta milik Umno sedangkan tindakan tersebut merupakan penyalahgunaan hak awam dan boleh menjadi ikutan pemimpin parti itu di peringkat bawahan.

Tiada ulasan: