Jumaat, 10 Ogos 2012

MB Selangor: Jawatankuasa khas ditubuh ambil alih konsesi air

NURKHAIRINI JUMARI

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 
 
 
SHAH ALAM - Selangor menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju supaya Kerajaan Negeri melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sememangnya Kerajaan Negeri telah lama bersedia untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air di negeri ini selaras dengan WSIA.
Oleh demikian, menurutnya, Kerajaan Negeri akan memanggil semula empat pemegang konsesi bagi menyelesaikan pengambilalihan syarikat konsesi berdasarkan harga pasaran yang munasabah.

"Bagi mempercepatkan proses ini, Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memuktamadkan pengambilalihan tersebut selewat-lewatnya September 2012.

"Sekiranya pemegang  konsesi tidak menerima nilai yang ditawarkan, mereka boleh merujuk kepada badan timbang tara bebas yang akan memutuskan nilai yang sepatutnya. Kerajaan Negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh badan timbang tara tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memastikan proses pemajakkan aset air negeri dan pengambilalihan liabiliti industri air  diselesaikan serentak.

"Pada masa sama, pemantauan ke atas Syarikat Bekalan Selangor Air Sdn Bhd (Syabas) akan diteruskan oleh Jawatankuasa Pemantauan bekalan air seperti biasa.

"Kerajaan Negeri komited dengan pendirian bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah," katanya.

Semalam, Sekretariat Jawatankuasa Khas Mengenai Isu-Isu Air Selangor dalam kenyataannya memutuskan Kerajaan Negeri Selangor boleh melaksanakan skim penstrukturan semula seperti mana yang dilaksanakan negeri lain, namun ia mesti mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua perjanjian konsesi air dan undang- undang yang berkuat kuasa.

Keputusan itu selaras dengan pendirian Kerajaan Persekutuan yang tidak pernah menghalang Kerajaan Selangor melaksanakan model penstrukturan yang dihasratkan.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu turut menegaskan tidak berhasrat campur tangan dalam usaha kerajaan negeri Selangor mengambil alih konsesi di negeri itu kerana ia adalah transaksi komersial membabitkan dua pihak yang berkenaan saja.

Dalam masa yang sama, Sekretariat tersebut memutuskan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 tetap diteruskan walaupun Kerajaan Selangor atau pihak berkuasa tempatan (PBT) enggan memberi kelulusan bangunan,.

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa asas selepas Kerajaan Selangor sehingga kini tidak mengeluarkan kelulusan pembangunan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Tiada ulasan: