Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman Menteri Besar Terengganu terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk dari PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain berkaitan artikel berhubung pembelian uniform sekolah oleh kerajaan negeri.

Hakim Datin Yeoh Wee Siam membuat keputusan itu dalam kamarnya.

Peguam Abdullah Omar Bawadi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan dua orang yang lain manakala Azhana Mohd Khairudin bertindak bagi pihak Syed Azman dan tiga defendan yang lain.

Azhana memberitahu pemberita bahawa hakim mendapati Menteri Besar tidak dapat mengekalkan tindakan saman malunya terhadap keempat-empat defendan berkenaan kerana beliau menyaman mereka berdasarkan kedudukan rasminya.

"Hakim juga mengarahkan plaintif kedua (Menteri Besar) membayar kos RM5,000 kepada semua defendan dalam tempoh 14 hari," katanya dan menambah kata bahawa mahkamah menetapkan 10 Sept bagi pengurusan kes untuk mengetahui sama ada dua plaintif yang lain yang kekal sebagai pihak dalam tuntutan itu mahu meneruskan atau menarik diri daripada tindakan tersebut.

Pada 15 Dis tahun lepas, kerajaan Terengganu, menteri besar Terengganu dan Mek Hawa Abdul Rahman serta Hamie Azreen Ami Nordin, yang diberikan kontrak membekalkan uniform dan alat tulis, mengemukakan saman terhadap keempat-empat defendan berkenaan.

Mereka menamakan Dr Syed Azman, pemilik permit Harakah, Datuk Mustafa Ali, ketua editornya Ahmad Lutfi Othman dan pencetak, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, sebagai defendan.

Pada 23 Julai, mahkamah membatalkan kerajaan Terengganu sebagai pihak dalam tuntutan setelah membenarkan bantahan awal pihak defendan dan memutuskan bahawa ia tidak mempunyai locus standi untuk meneruskan saman itu.

Dalam penyataan tuntutan mereka, pihak plaintif menyatakan bahawa Syed Azman memalukan mereka melalui satu artikel bertajuk 'Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?' yang disiarkan oleh Harakah sebagai organ rasmi PAS, dalam keluaran pada 11-13 Nov.

Mereka mendakwa kesemua defendan telah dengan niat jahat mencetak dan menyiarkan artikel berkenaan yang menurut mereka (pihak plaintif) merujuk kepada mereka.

Pihak plaintif juga mendakwa artikel berkenaan memberi pengertian bahawa kerajaan negeri dan menteri besar tidak telus dalam memberi kontrak di bawah program bantuan uniform negeri itu.

Mereka memohon ganti rugi am, khas, teruk dan contoh, kos serta injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menyiarkan artikel yang dikatakan memalukan itu.-Bernama