Ahad, 5 Ogos 2012

Letupan tong gas di Kulim bongkar kegiatan pindah gas haram, tiga pekerja asing cedera

THE MALAYSIAN INSIDER
 
 
KULIM— Letupan berpuluh tong gas dalam sebuah premis di Taman Cengal yang mencederakan tiga pekerja di sini awal hari ini membongkar satu kegiatan haram dipercayai memindah gas daripada tong subsidi domestik kepada tong gas industri.

Ketua Zon Pasukan Bomba dan Penyelamat Kulim, Mohd Firdaus Daud berkata pihaknya mengesyaki wujud kegiatan haram di situ kerana tiada bekalan eletrik di bangunan itu dan hasil maklumat daripada beberapa pekerja mengatakan bangunan ditutup pada waktu siang tetapi terdapat operasi di sebelah malam.

“Lagi pun terdapat kesan-kesan peralatan digunakan untuk memindahkan gas berkenaan di samping terdapat juga pelbagai ukuran silinder tong gas dalam premis tersebut. Sehingga kini pemilik premis belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Letupan kira-kira pukul 3 pagi itu turut menggegarkan ratusan buah rumah di beberapa taman perumahan berdekatan termasuk Taman Kempas, Taman Desa Impian dan kawasan sekitar.

Mohd Firdaus berkata tiga warga asing dipercayai pekerja premis berkenaan melecur seluruh badan akibat api gas berkenaan.

 Katanya, mereka dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas dimasukkan ke Hospital Kulim awal hari ini.

“Seramai 33 orang anggota termasuk 18 daripada bomba Kulim dan Hi-Tech Park dibantu 15 anggota bomba sukarela mengambil masa hampir sejam mengawal api,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohd Firdaus, selepas mendapat panggilan pada 3.17 pagi, bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati bangunan batu berbumbung zink itu terbakar sepenuhnya.

Katanya anggota bomba terpaksa mengambil tindakan lebih berhati-hati ketika kerja-kerja memadam api kerana dikatakan terdapat banyak tong yang masih mengandungi gas dalam bangunan itu. — Bernama

Tiada ulasan: