Rabu, 1 Ogos 2012

Lagu tema hari kebangsaan akan ditarik?

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang meminta pandangan berhubung lagu tema Hari Kebangsaan dilihat memberi bayangan kemungkinan lagu itu juga akan ditarik.

Rais melalui Twitter semalam meminta pandangan umum mengenai lagu tema sambutan tersebut ekoran ianya yang dimuat naik ke Youtube menerima kritikan hebat dari penonton.

"Apa pandangan saudara tentang lagu Janji Ditepati? Di Youtube dah cecah 140k lebih. Tapi yg 'ibu jari ke bawah' ada juga," tulisnya sebagai mengakui bahawa lagu ciptaannya itu tidak disukai penonton.

Sehingga pagi ini, video di Youtube bertajuk Lagu Tema - Janji Ditepati (Hari Merdeka ke-55) tersebut ditonton 229,000 orang dengan 28,377 dislike berbanding hanya 395 yang memilih like.

Dalam konem-komen mereka, penonton kebanyakannya mencemuh lirik yang berbunyi "Janji telah ditepati, kini masa balas budi" yang dilihat sebagai kempen politik.

Tidak kurang juga yang menganggap pemberian bantuan oleh kerajaan kepada rakyat selama ini adalah tidak ikhlas dan bersifat memancing undi sehingga memaksa rakyat membalas budi.

Lagu dengan melodi yang dihasilkan oleh Aye, Jasnie dan Arman E 6 itu juga turut memuatkan selingan rap yang menggariskan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak seperti 1Malaysia kedai dan Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Bukan asal

Sebenarnya lagu tema yang dimuat naik ke Youtube itu adalah berbeza dengan yang pernah diperdengarkan kali pertama pada himpunan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) bulan lalu.

Dalam lagu yang dipersembahkan itu, turut diselit lirik memerli pihak tertentu dengan menggunakan perkataan sinis seprti "Orang sana pandai cakap tapi tak boleh buat,' serta 'Orang sana pandai auta tapi budi tak ada'.

Difahamkan terdapat arahan agar rangkap tersebut diubah mungkin kerana terlalu jelas kritikannya.

Rangkap asal yang dibuang
"Orang sana pandai cakap, tapi tak boleh buat
"Orang sana pandai janji..... pada yang tak peduli
"Orang sana pandai auta, tapi budi tak ada".

Video lagu asal di http://www.youtube.com/watch?v=Jmy2dS-GfFQ

Tiada ulasan: