Khamis, 16 Ogos 2012

Lagi nahas mercun di Kelantan, kanak-kanak hampir putus jari

SINAR HARIAN

Lagi nahas mercun di Kelantan, kanak-kanak hampir putus jari
Mohd Iskandar Azaki Mat Rudin, 9, yang hancur jari manis akibat bermain mercun di rumahnya sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.- Foto Bernama
 
 
KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki hampir kehilangan jari manis tangan kanannya akibat terkena letupan mercun bola di Kampung Kemasin, Bachok, hari ini.
  
Mohd Iskandar Azaki Mat Rudin, 9, cedera apabila mercun yang dinyalakannya meletup sebelum sempat dibuang, kira-kira 3 petang tadi.
  
Ibunya Siti Aishah Mat, 31, berkata ketika kejadian, anak kedua dari tiga beradik itu sedang bermain dalam bilik tidur seorang diri.
  
"Masa kejadian itu, saya sedang menonton televisyen di ruang tamu dan saya hanya tahu kejadian itu setelah mendengar letupan yang kuat dari biliknya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.
  
Siti Aishah berkata beliau bergegas ke dalam bilik itu dan menemui mangsa yang terkejut selain tangannya dibasahi darah.
  
Ketika kejadian ayah mangsa, Mat Rudin Ibrahim, 38, sedang menampal simen di tangga rumah mereka.
  
Sejurus kejadian itu, Siti Aishah berkata beliau membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Daerah Bachok sebelum beliau dihantar ke HRPZ II.
  
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II Zaid Ahmad berkata setakat ini, pihak hospital menerima 16 kes kecederaan akibat mercun sejak awal Ramadan.
  
"Tahun ini mencatatkan peningkatan kes yang tinggi berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 13 kes," katanya.
  
Zaid turut menasihati ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka daripada bermain mercun terutama ketika menjelangnya Aidilfitri ini. - Bernama

Tiada ulasan: