Rabu, 1 Ogos 2012

Kerabat mahu nasib bekas tentera dibela

Salmiyah Harun,
 
KUALA LUMPUR: NGO Kebajikan Rangkaian Vateran Angkatan Tentera (Kerabat) menyifatkan sambutan Hari Pahlawan yang diadakan saban tahun pada 31 Julai bukan sekadar perayaan tradisi semata-mata sebaliknya ia adalah pengharapan baru ratusan ribu anggota tentera yang sedang berkhidmat mahupun bersara.

Penasihat Kerabat Mazlan Aliman berkata, masalah kebajikan bekas tentera dari dahulu hingga sekarang masih belum selesai dan sering menjadi perdebatan hangat.

Katanya, sejak tertubuhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga kini direkodkan 300 ribu anggota tentera yang telah menamatkan perkhidmatan, 80 peratus tidak berpencen kerana tidak melepasi 21 tahun perkhidmatan.

Tambahnya, nasib bekas tentera yang tidak berpencen di pernah dijanjikan untuk diberi lot tanah tapak rumah dan peluang pekerjaan masih menjadi isu terpenting yang diremehkan kerajaan.

"Bayangkan, perajurit kita pertaruhkan nyawa mereka, ramai yang gugur terkorban semasa ancaman komunis, keluar masuk hutan, berada di sempadan negara, memerangi penyeludupan, terkena serang hendap dan mangsa periuk api hingga cacat seumur hidup; sebahagian anggota menyertai misi keamanan Bangsa-bangsa Bersatu di negara bergolak sekurang-kurangnya berpisah selama 6 bulan dengan anak isteri.

"Sejauh mana kerajaan benar-benar serius menangani kebajikan anggota tentera kita khususnya yang berpangkat rendah dan tidak menikmati pencen," katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya dalam beberapa pertemuan dengan bekas tentera, ada yang hidup menjual air tebu, pisang goreng di tepi jalan untuk menyara anak yang ramai, tidak kurang juga yang menjadi pengawal keselamatan dan buruh binaan.

Jelas Mazlan, yang mengakui perlumbaan dari sudut anggota dan kelengkapan pertahanan sangat penting demi menghadapi apa juga kemungkinan pada masa depan.

Yang pasti, katanya pemimpin negara nampaknya hanya berlumba mendapatkan komisyen daripada pembelian kelengkapan pertahanan negara semata-mata, misalnya  isu komisyen Kapal Selam Scorpene sampai sekarang tidak selesai.

Katanya, tawaran Pakatan Rakyat mesti merumus kepada penyusunan semula ATM yang berwajah baru, masa depan perajurit lebih terarah, kebajikan bekas tentera yang menjanjikan nikmat kehidupan ceria.

Justeru, Kerabat menuntut agar sebuah  Bandar Baru Veteran Tentera di atas tanah seluas seribu ekar yang menjadi model sebuah perkampungan bekas perajurit yang lengkap perumahan moden, pusat latihan serba guna ala tentera, pusat kemahiran dan kemudahan asas serba lengkap.

Tiada ulasan: