Jumaat, 10 Ogos 2012

Kementerian Pelajaran tidak halang PIBG kumpul dana

SINAR HARIAN

Datuk Wee Ka Siong
Datuk Dr Wee Ka Siong 
 
IPOH - Kementerian Pelajaran mengalu-alukan inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah mengutip derma bagi mengumpul dana untuk tujuan aktiviti pelajar dengan syarat ia perlu mendapatkan kelulusan pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Timbalan Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pengarah JPN perlu memperhalusi sebab dan tujuan kutipan derma itu sebelum memberikan kelulusan.

"Kita mengalu-alukan apa juga inisiatif di bawah persatuan (PIBG) itu tetapi ia tertakluk kepada kelulusan pengarah JPN...perlu perhalusi permohonan itu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bantuan modal Sekolah Bantuan Kerajaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di SMJK Sam Tet di sini hari ini.

Beliau  mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah kerana ia sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan  menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

Bagaimanapun beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.

Wee berkata pihak kementerian tidak pernah menghalang inisiatif PIBG bagi mengumpul dana contohnya bagi tujuan pembinaan gelanggang sukan yang lebih canggih dan moden serta program peningkatan akademik pelajarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan selesai mengagihkan bantuan modal kepada semua Sekolah Bantuan Kerajaan dalam tempoh sebulan mulai Ogos.

"Majoriti sekolah akan terima sebelum Aidilfitri, namun kerana kita akan bercuti hari raya ada negeri yang akan menerimanya selepas itu.

Kita akan menjadualkan semula  penyerahan bantuan itu," katanya.

Beliau berkata pembayaran bantuan modal kepada SJKC, SJK Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Mubaligh adalah janji kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012.

"Kerajaan sangat komited untuk bidang pendidikan dan inilah janji kita yang semuanya ditepati," katanya
Bagi negeri Perak bantuan modal sebanyak RM16.53 juta diagihkan kepada 96 buah SJKC dan 17 buah SMJK, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: