Khamis, 23 Ogos 2012

Kemenangan Pas ditentu pengundi luar

Wartawan Sinar Harian

Datuk Hussin Awang
Datuk Hussin Awang
 
KUALA TERENGGANU – Sebahagian besar kemenangan Pas di negeri ini bergantung kepada pengundi luar terdiri daripada anak kelahiran Terengganu yang menuntut di luar negara.

Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Datuk Hussin Awang berkata, ia kerana masyarakat kini telah sedar dan mahukan perubahan dalam pemerintahan negara berdasarkan pemerintahan yang telus dan adil.

“Masyarakat sedia bawa perubahan, secara menonjolnya kita telah nampak bahawa mereka kini adalah ejen kepada satu gelombang yang mahukan perubahan dalam pentadbiran negara.

“Kita harap Terengganu tidak terkecuali dan tidak tercicir dari gelombang ini kerana kemenangan yang kita cita-citakan ini sedikit sebanyak ditentukan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perantau anjuran Badan Perhubungan Pas Terengganu, semalam.

Menurutnya, sokongan pengundi luar sekali gus bertindak sebagai kunci kemenangan kepada sebahagian besar peti undi Pas di negeri ini.

“Kita telah menyaksikan kegagalan Barisan Nasional (BN) mentadbir beberapa negeri di sebelah Pantai Barat, ini menunjukkan telah tiba masanya rakyat bangkit untuk mengubah pentadbiran kepada yang diinginkan mereka.

“Tidak mustahil, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, gelombang besar ini akan melanda dan rakyat akan ubah pentadbiran negara kepada yang lebih baik,” katanya.

Tiada ulasan: