Selasa, 28 Ogos 2012

Kedah nafi swasta ambil alih Kuin

Salmiyah Harun,
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah menafikan dakwaan bahawa pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) akan diambil alih oleh sebuah syarikat swasta.

Exco Agama, Pelajaran, Koperasi Negeri Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (gambar) berkata, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri.

Apatah lagi, katanya di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kuin langsung tidak membincangkan perkara itu.

"Siapa yang nak ambil alih, tidak pernah disebut dalam mesyuarat kita," katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Kuin.

Malah beliau turut menolak tuduhan bahawa kerajaan negeri Kedah telah menerima surat daripada syarikat antarabangsa berkenaan dengan pengambil alihan pengurusan Kuin sejak dua bulan lepas.

Taulan langsung tidak menerima surat tersebut dan tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak dakwaan itu timbul kerana surat terbabit yang diemelkan kepada rektor universiti kemudian dipanjangkan di kalangan rakan-rakan mereka.

"Saya percaya surat tersebut hanya di kalangan rakan-rakan rektor sahaja. Saya pun tidak jelas tentang isi kandungan surat itu, sebab ia tidak sampai pun di kalangan lembaga pengarah," katanya ketika di hubungi Harakahdaily.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa pengurusan Kuin akan diambil alih oleh sebuah syarikat swasta.

Beliau juga berkata, pengambilalihan itu akan memberi kesan kepada pelajar kerana pihak swasta sudah pasti mahu mengaut keuntungan yang tinggi berbanding dengan kerajaan negeri.

Tiada ulasan: