Jumaat, 10 Ogos 2012

Kanak-kanak Rohingya perlu bantuan

RUZY ADILA IDRIS

SHAH ALAM – Malaysian Relief Agency (MRA) merayu rakyat Malaysia menghulur bantuan berupa makanan ataupun wang kepada anak-anak pelarian Rohingya di negara ini.

Koordinatornya, Johari Kan Abdullah berkata, bantuan diperlukan bagi meringankan beban kanak-kanak terbabit yang sering kekurangan bekalan makanan.

Beliau yang juga Pengetua Sekolah Komuniti Rohingya, yang berpusat di Cheras Baru, Kuala Lumpur berkata, ketika ini bantuan diterima terus daripada MRA.

“Bantuan berbentuk makanan amat-amat dialu-alukan terutamanya dalam bulan Ramadan ini bagi menampung keperluan berbuka puasa dan bersahur.

“Di sekolah ini mempunyai seramai 82 orang pelajar yang berusia dari enam hingga 16 tahun dan kebanyakan mereka ramai yang masih buta huruf,” katanya.

Katanya, kanak-kanak ini amat menghargai bantuan orang ramai kerana mereka tinggal dalam keadaan amat susah sebagai pemegang status pelarian.

Johari menambah, sumbangan tersebut boleh disalurkan melalui akaun Maybank atas nama Malaysian Relief Agency, nombor akaun: 5640 9820 6365.

Selain itu, penderma boleh juga menghantar bantuan ke Malaysian Relief Agency, Lot 7, Jalan Raja Uda, Kampung Baru 50300 Kuala Lumpur.

Sementara itu, menurut laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga penghujung Jun lali, lebih 99, 800 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar kini berada di Malaysia.

Daripada jumlah itu, seramai 91,400 daripadanya merupakan pelarian Myanmar.

Berdasarkan pecahan kaum pula, mereka terdiri daripada 34,420 Chin, 23,830 Rohingya dan 10,580 Myanmar di mana yang beragama Islam seramai 6,050 berasal dari Rakhines, 3,730 Mons, 3,230 Kachin dan lain-lain dari etnik lain dari Myanmar.

Tiada ulasan: