Isnin, 6 Ogos 2012

JK Royalti: Kenapa sekarang - TG Nik Aziz

Harakahdaily,
 
SHAH ALAM: Walaupun bersyukur dengan keputusan Kerajaan Pusat mahu mengkaji bayaran royalti petroleum untuk Kelantan namun Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Aziz mempersoalkan 'kenapa sekarang'.

Ini kerana, ia sudah lama patut diberikan dan bukannya memberikan janji pula menjelang pilihan raya ini.

"Mengapa Perdana Menteri baru sekarang mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran royalti?" soal beliau kepada media petang semalam.

Jumaat lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghantar surat kepada Tuan Guru Nik Aziz meminta beliau menamakan wakil Kelantan untuk membincangkan isu royalti/bayaran tunai kepada negeri itu.

"Kerajaan Pusat sepatutnya telah lama menubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung," kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Malah menurut Menteri Besar Kelantan, jawatankuasa khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewajarnya selesai membincang dan merunding isu berbangkit itu dalam tiga bulan lalu.

Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang baru sekarang mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran royalti.

"Jawatankuasa ini patut ditubuhkan sejak dulu lagi.

"Semasa perjanjian di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas dibuat pada 9 Mei 1975, tapi mengapa baru sekarang mahu tubuhkan?” katanya ditemui sebelum pelancaran Tabung Amanah Lebuhraya Rakyat dan majlis berbuka puasa di Kompleks Media Karangkraf di sini semalam.

Tengah hari tadi, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.

Menurut Najib, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Jawatankuasa itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan, kata Najib.

Nik Aziz turut membidas keputusan Najib yang mahu kajian menyeluruh dilakukan dalam tempoh enam bulan yang sepatutnya mengambil jangka masa lebih pendek sekurang-kurangnya tiga bulan sahaja.

Beliau  berkata,  pihaknya belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai nama wakil Kelantan yang akan mewakili negeri itu dalam jawatankuasa khas berkenaan.

“Belum ada lagi sebarang perbincangan. Saya sendiri akan mengadap Sultan Kelantan bagi menghantar nama wakil dan hanya pada masa itu akan diumumkan nama wakil bagi negeri Kelantan,” jelas beliau.

Beliau turut bertegas yang Kelantan mempunyai hak sepenuhnya ke atas royalti minyak kerana kedudukan pelantar cari gali minyak berdekatan dengan pesisiran pantai negeri Kelantan.

Tiada ulasan: