Isnin, 6 Ogos 2012

Jamil: Bukan Islam tidak boleh sebar agama lain kepada Muslim

SINAR HARIAN

 Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
 
 
YAN - Majlis Agama Islam negeri melalui peruntukan enakmen sedia ada boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pendakwah agama lain yang cuba menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata melalui enakmen itu, penganut agama lain tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.

"Penyebaran dalam bentuk bahan bercetak, video dan penulisan tidak dibenarkan kerana akan menimbulkan rasa kurang senang umat Islam terhadap kegiatan mereka," katanya ketika mengulas isu pelancong asing yang menyebarkan fahaman Kristian di Pulau Pinang yang dilaporkan akhbar Khamis lepas.

Menurut laporan itu, dua lelaki yang dipercayai pelancong asing cuba menyampaikan ajaran agama mereka ketika umat Islam bersiap sedia untuk berbuka puasa.

Jamil Khir menasihati mereka yang menjalankan kegiatan itu agar memahami terlebih dahulu peraturan majlis agama di negara ini dan perlu mematuhinya agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.
  
Beliau berkata terdapat satu kes yang mengguna pakai enakmen berkenaan dan tertuduh dikenakan denda serta penjara di Pahang pada 2002 dan ini perlu dijadikan sebagai iktibar.

Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan sumbangan peribadinya iaitu sebuah mesin hemodialisis bernilai RM65,000 kepada Hospital Yan bagi menampung kekurangan mesin tersebut untuk merawat 37 pesakit sekitar daerah Yan.

Beliau berharap syarikat korporat, swasta serta individu lain turut menyumbang mesin tersebut untuk pesakit bagi memudahkan mereka menjalani rawatan tanpa perlu menunggu terlalu lama. - Bernama

Tiada ulasan: