Khamis, 16 Ogos 2012

Inkuiri Suhakam: Polis serang perusuh, tahan wanita dan kanak-kanak ketika demo Bersih


KUALA LUMPUR — Inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini diberitahu antara 15 hingga 20 anggota polis memasuki kawasan  Hotel Swiss di sini pada 28 April dan menahan orang ramai termasuk wanita dan kanak-kanak yang berlindung daripada terkena tembakan gas pemedih mata dan meriam air.

Selamat Abul Hamid, 42, juruteknik syarikat swasta dari Batu Pahat berkata kepada tiga panel diketuai Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee bahawa anggota polis memasuki kawasan hotel berkenaan dan mengarahkan semua orang keluar.

Menurut Selamat, beliau dan isteri termasuk anaknya pergi ke hotel berkenaan bagi menunaikan solat selepas membeli belah di Sogo.

Beliau menambah niatnya untuk menyertai Bersih, bagaimanapun pada hari itu beliau memakai baju T putih.

“Saya terlupa membawa baju kuning,” katanya.

Jelas Selamat, beliau cuba untuk membuka pintu dan meninggalkan hotel namun terhidu gas pemedih mata, dan sekelip mata, anggota polis memasuki premis dan membelasah mereka.

Kami disepak dan diterajang. Polis tidak memakai uniform atau tag nama. Kakitangan hotel bagaimanapun tidak diapa-apakan.

“Isteri dan empat anak berusi tiga dan 17, ada bersama saya. Kami diiringi polis ke Dataran Merdeka.

“Anak-anak saya tetap tenang dan tidak menangis,” katanya. Beliau mendakwa beberapa anggota polis wanita turut menyertainya dan mengiringi isterinya dan anaknya.

“Bila kami sampai di Dataran Merdeka, anggota polis menjerit ke arah kami dan mengatakan kami “ibu bapa tak guna.”

Jelas Selamat, beliau dan keluarganya di bawa ke Pusat Latihan Polis Jalan Semarak (Pulapol) dan diberi makanan dan minuman.

“Saya dipisahkan daripada isteri dan dua anak perempuan sementara anak lelaki saya ada bersama saya. Anggota polis turut mengambil gambar kami, termasuk isteri dan anak-anak saya.”

“Walaupun kami ditahan bersama lebih 50 yang lain, ia sama seperti pergi berkelah,” katanya.
Selamat dan keluarganya dibebaskan tengah malam kemudian.

“Saya rasa jika saya buat laporan, tiada tindakan akan diambil.

“Saya tak rasa ia salah untuk menyertai perhimpunan. Salah polis yang menahan saya dan isteri,” katanya.

Selain itu, dua hari sejurus insiden berkenaan, anak keduanya meracau “Keluar, keluar”. “Saya rasa dia trauma.”

Ketika sidang media, Dr Khaw berkata Suhakam telah menghantar surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memohon pegawai bertugas pada 28 April itu untuk memberikan keterangan mereka.

Panel berkenaan juga akan menyiasat tuduhan National Union of Journalists (NUJ) bahawa terdapatnya taklimat berkenaan kejadian tersebut oleh pihak polis kepada petugas media.

“Kami akan mendengar daripada penganjur Bersih dan akan melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melihat dengan lebih dekat dawai duri yang digunakan ketika perhimpunan tersebut,” katanya lagi.

Inkuiri bersambung pada 10 September.

Tiada ulasan: