Isnin, 27 Ogos 2012

Himpunan bantah guna sianida di Raub 2 Sept

Khairil Abdul Rahim,
TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa ahli-ahli dan penyokong PAS serta seluruh pencinta alam sekitar agar menyertai Himpunan Hijau Raub pada 2 September ini di Taman Tasik, Jalan Bukit Koman bermula jam 2 petang.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata, perhimpunan tersebut penting bertujuan menuntut dihentikan penggunaan bahan kimia berbahaya sianida (cyanide) dalam proses perlombongan emas di Bukit Koman, Raub.

“PAS Pahang turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Daerah Raub kerana memberi kebenaran perhimpunan di samping bersedia mengawal lalu lintas semasa perhimpunan.

“Perhimpunan Hijau yang dianjurkan Pakatan Rakyat bersama beberapa NGO seluruh negara mensasarkan kehadiran 5,000 orang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang di sini semalam.

Tambahnya, selepas perhimpunan aman itu seramai 8 orang ahli jawatan kuasa bertindak akan bergerak menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak pengurusan lombong emas Bukit Koman.

“PAS berharap pengurusan syarikat lombong emas dan pihak kerajaan akan memberi perhatian serius terhadap isi tuntutan memorandum tersebut itu nanti,” katanya.

Lombong emas Bukit Koman diusahakan oleh Raub Australian Gold Mine (RAGM) telah menggunakan sianida dalam proses pengekstrakan emas yang membahayakan nyawa.

Sejak mula beroperasi pada Februari 2009 dikatakan memberi kesan ke atas lebih 300 penduduk berhampiran jatuh sakit, khususnya Kampung Bukit Koman yang mengadu mengalami masalah kegatalan kulit melampau, kesukaran bernafas dan pelbagai kesan lain ekoran penggunaan bahan kia tersebut.

Namun semua aduan dan rayuan yang dibawa ke pihak berkuasa tidak mendapat perhatian sewajarnya malah kerajaan terus membenarkan kilang tersebut beroperasi 24 jam sehari tanpa henti.

Sementara itu Setiausaha PAS Kawasan Raub Dr Nilam Manaf, meminta orang supaya datang awal kerana PAS Raub akan mengadakan jamuan terbuka Aidilfitri pada sebelah pagi bertempat di Markas Gali Tengah.

Tiada ulasan: