Rabu, 8 Ogos 2012

Hari Kemerdekaan penentu PRU13

Wartawan Sinar Harian

Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali 
 
 
PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) meramalkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 akan menjadi penentu kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan tarikh PRU13 dalam bulan kemerdekaan.

Katanya, PRU13 berkemungkinan September ini, iaitu selepas bajet atau selepas musim haji November ini.

“Kami bersedia menghadapinya, walaupun tarikhnya masih samar. Kami yakin Perdana Menteri akan menggunakan Hari Kemerdekaan untuk memulihkan imej Barisan Nasional (BN) dan mengumumkan tarikh PRU13.

“Kerajaan akan menggunakan Hari Kemerdekaan sebagai landasan memperbaiki imej mereka memandangkan pelbagai program diadakan sepanjang bulan kemerdekaan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini,” katanya di Ibu Pejabat PKR di sini, semalam.

Sementara itu, Mustafa berkata, Khamis ini, satu mesyuarat khas akan diadakan oleh kepimpinan tertinggi PR bagi membincangkan logo dan lagu sempena sambutan Hari Kemerdekaan bagi negeri yang diperintah PR.

“Lagu itu digubah oleh komposer terkenal dan buat masa ini identitinya dirahsiakan dan akan didedahkan pada hari tersebut,” katanya.

Menurutnya, hanya Kelantan dan Kedah akan menggunakan tema dan logo mereka sendiri, kerana perkara itu telah diputuskan lebih awal sebelum jawatankuasa khas yang dilantik PR memperkenalkan logo dan tema baru.

“Bagaimanapun logo dan tema yang diperkenalkan oleh Pusat ini akan diguna pakai dalam sambutan yang dilakukan oleh parti di seluruh negara,” katanya.

Tiada ulasan: