Rabu, 1 Ogos 2012

Guru Kafa berkhidmat 20 tahun tapi masih kontrak

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan diskriminasi terhadap guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) tidak sewajarnya berlaku kerana sumbangan mereka bukanlah satu usaha yang boleh dipandang remeh.

(Para pelajar Kafa yang perlu mendapatkan guru yang terbaik - gambar hiasan)

Sehubungan itu, DPPM meminta agar kerajaan Malaysia mengkaji dan mempertimbangkan cadangan yang telah dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sejak 16 Mei 2009 lagi sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang meminta agar 33,000 guru (Kafa) diserap ke jawatan tetap supaya kebajikan guru-guru Kafa lebih terbela.

“Pada masa ini guru Kafa di Malaysia berkhidmat secara kontrak. Mengambil kenyataan daripada Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, pihak beliau telah menerima banyak rungutan dan keluhan berhubung isu taraf jawatan kontrak dan kebajikan guru Kafa yang tidak terbela,” kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Malah, katanya terdapat juga aduan yang menyatakan mereka telah berkhidmat selama lebih daripada 20 tahun tetapi secara kontrak.

“Perkara ini sewajarnya diberikan perhatian oleh pihak kerajaan,” ujar Khairul Faizi (gambar kanan) dalam satu kenyataan.

Bahkan, tambah beliau lebih teruk kerana ada guru Kafa yang tidak disambung kontrak perkhidmatannya sedangkan dirinya dibebani dengan pelbagai jenis ansuran seperti kenderaan atau rumah yang perlu mereka jelaskan.

Katanya lagi, diskriminasi terhadap guru Kafa tidak sewajarnya berlaku kerana sumbangan mereka dalam memberi pendidikan dan pembentukan generasi rabbani dan madani bukanlah satu usaha yang boleh dipandang remeh dan kecil.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas keperihatinan mereka terhadap masalah yang melanda guru Kafa di negeri tersebut.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat konsisten dalam membantu untuk meringankan bebanan guru-guru Kafa terutama apabila kerajaan pusat mengumumkan “duit raya” kepada penjawat-penjawat awam.

“Pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan lebih RM500 ribu sebagai bonus kepada guru-guru ini.

“Terkini pada tahun 2012, sebanyak RM RM3.9 juta telah diperuntukkan untuk pemberian bonus hariraya Aidil Fitri kepada penjawat awam dan guru Kelas Fardhu Ain (Kafa) seluruh negeri itu mulai 9 Ogos depan,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi membela kedudukan dan masa depan guru-guru Kafa, kerajaan perlu menyerapkan mereka ke dalam jawatan tetap.

“Tindakan kerajaan ini akan dilihat bijak bahkan seolah-olah hadiah istimewa buat mereka yang telah berkhidmat lama di dalam bidang ini terutamanya,” katanya.

Tambahnya lagi, bukan sahaja kehidupan mereka lebih terjamin bahkan mereka juga dapat memberikan perhatian yang lebih di dalam pengajaran mereka.

“Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia, kami bersedia untuk menerima apa jua pandangan dan keluhan yang sedang menimpa guru-guru Kafa pada masa ini kerana kami percaya bahawa banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian terhadap guru-guru ini,” katanya.

Tiada ulasan: