Khamis, 2 Ogos 2012

Gangguan Samseng Jejas Projek MPS





SELAYANG: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memadang serius tindakan sekumpulan samseng didakwa meminta ‘duit kopi’ daripada kontraktor ketika kerja-kerja menurap jalan di Batu Caves melalui peruntukan MARIS di bawah Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala berkata, kumpulan samseng bertindak merampas kunci jentera-jentera yang digunakan kontraktor yang dilantik MPS dan meminta ‘duit kopi’ daripada kontraktor terlibat.

“Perkara ini amat serius dan saya akan mengarahkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengadakan perbincangan dengan pihak polis bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS di Bangunan MPS hari ini.

Katanya, samseng berkenaan turut mengganggu kakitangan Institut Kerja Raya Malaysia(IKRAM) ketika membuat kajian mengenai tanah runtuh di Taman Rawang Perdana minggu lalu.

“Mereka yang terlibat juga tidak berani melaporkan perkara ini kepada polis dan kita akan mengadakan satu mesyuarat segera mengenai perkara ini kerana sudah empat kali dalam tahun ini kita diganggu,” katanya.

Zainal Abidin berkata, tujuan kumpulan samseng ini adalah bagi mendapatkan wang segera dengan memeras ugut dan mengganggu projek di bawah MPS.

Sementara itu, mesyuarat bulanan ini turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPS, Mohamad Zain Abd Hamid, pengarah jabatan dan ahli-ahli Majlis MPS.

Tiada ulasan: