Pengerusi eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Tan Sri Rozali Ismail berkata beliau akan memutuskan sama ada akan mengemukakan saman ke atas pihak yang didakwa memfitnahnya berhubung bayaran gajinya.

Laporan Berita Harian hari ini menyebut, Rozali akan memutuskan sama ada akan mengemukakan saman ke atas "tohmahan kononnya beliau menerima gaji tahunan RM5.1 juta”.

Isu berkenaan turut dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini yang memetik Rozali dipetik sebagai berkata, perkara itu boleh dirujuk dalam satu keputusan mahkamah berhubung satu kes fitnah ke atasnya.

Laporan Sinar Harian bagaimanapun menyebut, tohmahan berkenaan adalah berhubung bayaran gaji RM51 juta dan bukannya RM5.1 juta.

“Mereka boleh rujuk kepada keputusan mahkaman dan mendapatkan butiran yang benar dan terperinci daripada mendengar tohmahan tanpa asas,” kata Rozali dalam laporan itu.

Kes yang dirujuk oleh Rozali itu dipercayai berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu supaya MP Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee membayar RM200,000 kepada SYABAS berhubung satu kenyataan memfitnah.

Isu gaji Rozali itu antara lainnya ditimbulkan oleh pengarah strategi PKR Rafizi Ramli yang mendakwa Rozali menikmati gaya hidup "superstar" dengan gaji tahunan sebanyak RM5 juta, sedangkan Selangor mempunyai kadar air tak berhasil yang paling tinggi di negara ini.

Malaysiakini melaporkan Rafizi berkata demikian dalam satu forum di Subang Jaya pada 25 Julai lalu.

Selain Rafizi, perkara itu juga ditimbulkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sidang media berhubung usaha menyusun semula perkhidmatan air negeri itu.

Dalam sidang media pada 18 Julai itu, Khalid dilaporkan berkata langkah itu akan melibatkan pengurangan kos pentadbiran dan gaji pegawai tertinggi SYABAS.

"Contohnya kalau kita bayar gaji orang yang jadi ketua pegawai eksekutif SYABAS, saya ingat gajinya tak lebih daripada 10 peratus daripada gaji sekarang kepada (pengerusi eksekutif SYABAS) Tan Sri Rozali (Ismail)," kata Khalid.