Khamis, 9 Ogos 2012

Finas tangguh tayang Tanda Putera, pengarah akur

SITI JULIANA MOHD JOHAR
Tanda Putera bukan filem politik
Shumi bersama barisan pelakon yang menjayakan Tanda Putera
 
 
SHAH ALAM - Filem Tanda Putera arahan pengarah wanita disegani, Datin Paduka Shuhaimi Baba, yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, telah ditangguhkan tayangan sehingga satu tarikh diberitahu kelak.

Sebelum ini, filem itu dijadualkan bakal menemui penonton 13 September ini.

Beliau yang turut dikenali sebagai Shumi sebelum ini berkata, “sejujurnya, saya dan barisan pelakon tidak sabar menanti tayangan filem ini pada 13 September sempena mood hari merdeka dan Hari Malaysia."

"Walaupun kecewa, saya tiada bantahan dan percaya Finas mempunyai tarikh yang lebih sesuai,” katanya.

Seperti dijelaskan Ketua Pengarah Finas, Mohd Naquib Razak, pihaknya terpaksa menunda tayangan Tanda Putera kerana mahu beri lebih ruang promosi bagi filem sangat berharga ini.

Biarpun sedikit terkilan, pengarah tersohor itu yakin dengan percaturan Finas yang membuat keputusan untuk tidak menayangkan Tanda Putera pada tarikh asal. 

Filem itu berkisarkan politik negara tentang Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa 13 Mei 1969.

Filem yang dibintangi aktor Zizan Nin, Rusdi Ramli dan Faezah Elai itu juga rata-rata mendapat pujian daripada pihak media ketika diadakan majlis pratontonnya baru-baru ini.

Ura-ura mengatakan filem ini ditangguhkan tayangannya adalah disebabkan daripada bahang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang bakal tiba tetapi Shumi lantas menafikan khabar angin itu.

Tiada ulasan: