Isnin, 6 Ogos 2012

Emas Olimpik: Malaysia perlu tunggu 4 tahun

SINAR HARIAN

Datuk Lee Chong Wei
Jurulatih Tey Seu Bok (kanan) menenangkan Lee Chong Wei selepas kecundang kepada pemain China Lin Dan pada perlawanan akhir di Sukan Olimpik London, di Arena Wembley. 
 
 
MALAYSIA mungkin terpaksa menunggu empat tahun lagi iaitu pada Sukan Olimpik Brazil 2016 untuk meraih emas pertama negara pada temasya itu selepas badminton dan berbasikal gagal menyumbangkan emas semalam.

Dalam acara badminton, dianggap sebagai sukan yang mungkin menyumbangkan pingat emas bagi mengakhiri kemarau pingat emas negara pada temasya itu sejak 1956, sekadar memberikan perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki.

Chong Wei, pemain nombor dua dunia tumpas 21-15, 10-21, 19-21 kepada pemain nombor satu dunia dan juara bertahan, Lin Dan dari China pada perlawanan akhir semalam, yang merupakan kekalahan keduanya kepada lawan yang sama semasa perlawanan akhir di Olimpik Beijing 2008.

Mungkin beraksi pada Olimpik terakhirnya berikutan faktor usia yang kini mencecah 30 tahun, Chong Wei berkata, beliau telah memberikan yang terbaik namun Lin Dan membuktikan beliau berada di kelasnya tersendiri.

"Ini kali kedua saya mengecewakan harapan rakyat Malaysia. Saya sudah melakukan yang terbaik tetapi Lin Dan bermain lebih baik," katanya.

Terdahulu dalam saingan tempat ketiga dan empat, beregu nombor lapan dunia Koo Kien Keat/Tan Boon Heong gagal menyumbangkan pingat gangsa kepada Malaysia apabila tumpas kepada pasangan Korea Selatan, Chung Jae Sung/Lee Yong Dae.

Pasangan negara itu kalah 21-23, 10-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 47 minit.

Selain badminton, acara berbasikal trek yang disasarkan menyumbangkan pingat kepada Malaysia, juga gagal mencatatkan keputusan positif apabila Mohd Azizulhasni Awang menamatkan saingan di tempat kelapan dalam acara pecut lelaki.

Mohd Azizulhasni terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Britain, Jason Kenny apabila tumpas di peringkat suku akhir.

Pada perlumbaan penentuan tempat kelima hingga lapan, Mohd Azizulhasni menduduki tempat kelapan dan terakhir dalam kalangan empat pelumba di belakang pelumba Rusia, Denis Dmitriev; Jimmy Watkins (Amerika Syarikat) dan Robert Forstermann (Jerman).

Penantian Malaysia untuk meraih pingat emas pertama akan diteruskan hari ini apabila Yeoh Ken Nee dan Huang Qiang turun beraksi dalam acara 3m papan anjal individu lelaki. - Bernama

Tiada ulasan: