Rabu, 15 Ogos 2012

Desak Menteri jelaskan kos sebenar baiki pengangkutan awam

Oleh Norutul Ilham


KUALA LUMPUR : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menjelaskan peruntukkan subsidi kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam.



Ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, janji untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam sudah dicanang kerajaan sejak 2008, sehinggakan subsidi rakyat sebanyak RM20 bilion ditarik kononnya untuk tujuan tersebut. Namun sehingga kini janji itu tidak ditepati.

“Kita desak supaya kementerian menjelaskan secara terperinci berapa kos sebenar yang diperuntukkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kejadian terbaru melibatkan KL Monorel yang mengalami kerosakan sehingga menyebabkan pengguna cedera.

“Mereka perlu memberitahu di mana wang itu diperuntukkan, dan kenapa masih lagi berlaku kerosakan sedangkan kerja-kerja naik taraf baru sahaja dijalankan tahun lepas,” tegas beliau.

Sabtu lalu, seramai 183 penumpang KL Monorel terperangkap hampir dua jam selepas dua gerabak yang dalam perjalanan dari Stesen KL Sentral menuju ke pusat bandaraya mengalami kerosakan.

Dalam kejadian itu, seorang wanita hamil termasuk dua penumpang lain terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana sesak nafas dan cedera ketika operasi menyelamat.

Malah ada di antara mangsa cuba memecahkan cermin tingkap dan pintu gerabak untuk menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Monorel merupakan pengangkutan awam bandar, bukan sahaja rakyat tempatan yang guna, tapi pelancong juga terlibat sama.

“Insiden ini bukan sahaja beri kesan kepada pengguna tetapi pelancong, banyak impak buruk kerana memberi gambaran tahap keselamatan penggunaan pengangkutan awam,” kata Shamsul.

Beliau berkata, kerajaan bertindak menaikkan harga minyak yang sekaligus membebankan pengguna jalan raya sedangkan janji kerajaan untuk menambahbaik sistem pengangkutan awam tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Ketika kenaikan harga minyak dari RM1.80 ke RM2.70 pada 2008 kononnya penarikan subsidi RM20 bilion dari poket rakyat ketika itu akan diguna mempertingkat sistem pengangkutan awam. Tetapi apa yang kerajaan buat? Janji hanya tinggal janji,” kata Shamsul.

Tiada ulasan: