Ahad, 26 Ogos 2012

DAP minta menteri perjelas dakwaan manipulasi perangkaan jenayah

MALAYSIA KINI


 
Pemimpin parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa menteri kabinet supaya mengemukakan penjelasan berhubung dakwaan bahawa data mengenai kadar jenayah dimanipulasi untuk menggambarkan kadar jenayah menurun.

Lim menuntut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan juga seorang lagi menteri di jabatan sama, Datuk Seri Koh Tsu Koon supaya berbuat demikian.

Lim berkata demikian dengan merujuk kepada satu surat didakwa oleh seorang pegawai polis yang mendakwa pasukan itu dengan sengaja memanipulasi perangkaan jenay untuk menunjukkan bahawa kadar tersebut menurun.

Penulis yang tidak didedahkan identitinya itu mendakwa, kes seperti rompakan dan menyebabkan kecederaan tidak dimasukkan dalam "jenayah indeks" polis.

Penulis surat itu mendakwa, keadaan ini menyebabkan perangkaan jenayah menunjukkan kadar penurunan – selari dengan sasaran indeks petunjuk prestasi kerajaan.

Mengulas perkara itu, Lim berkata kerajaan akan menyebabkan tema "Janji Ditepati" untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sebagai satu ejekan sekiranya perkara itu tidak dijelaskan.

"Akhirnya, rakyat Malaysia nampaknya mendapat jawapan kepada misteri tiga tahun berhubung persoalan mengenai ketakutan rakyat yang semakin meningkat terhadap jenayah ketika dakwaan rasmi mengatakan kadar jenayah menurun," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tiada ulasan: