Jumaat, 10 Ogos 2012

Cyanide Di Bukit Koman: Apa Yang Perlu Anda Tahu

Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat

Cyanide adalah bahan kimia berbahaya wujud perlbagai bentuk, dalam bentuk gas yang tidak bewarna seperti hydrogen cyanide (HCN) dan yanogen chloride (CNCl) atau dalam bentuk kristal seperti sodium cyanide (NaCN) dan potassium cyanide (KCN).

Hydrogen cyanide (HCN) pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua sebagai agen pembunuh oleh Tentera Jerman, Tentera Amerika Syarikat dan Tentera Jepun malah ada juga laporan yang mengatakan agen pembunuh itu juga telah digunakan ketika perang Iran-Iraq pada tahun 80-an. Ia juga pernah digunakan oleh Tentera Perancis ketika Perang Dunia Pertama.

Penggunaan bahan kimia ini telah diharamkan di beberapa buah negara khususnya di sektor perlombongan antaranya adalah Amerika Syarikat (Montana, Colorado, Wisconsin), Turki, Honduras, Republik Czech, Argentina, Jerman, Greece, Costa Rica, Peru,  dan Filipina kerana ancamannya kepada Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

Pendedahan berterusan bahan kimia ini melalui pernafasan udara, air minuman, makanan malah memegang tanah yang dicemari cyanide kepada manusia boleh menyebabkan kematian malah jika mangsa berjaya diselamatkan sekalipun, dengan tahap keracunan yang tinggi boleh menyebabkan jantung dan otak mangsa rosak. Cyanide akan menghalang sel badan manusia daripada menerima oksigen yang secukupnya dan jika sel badan tidak dapat menerima oksigen yang secukupnya, sel itu akan mati. Jantung dan otak adalah organ manusia yang banyak menggunakan oksigen.

Kesan pendedahan langsung bahan kimia cyanide itu dalam jumlah yang kecil boleh dilihat melalui tanda-tanda berikut iaitu sesak nafas, kegelisahan, pening, lemah, sakit kepala, loya/muntah, dan degupan jantung yang kencang manakala pendedahan dalam jumlah yang besar boleh menyebabkan sawan, tekanan darah rendah, degupan jantung yang perlahan, pengsan, kerosakan salur pernafasan termasuklah seluruh sistem pernafasan manusia dan seterusnya  kematian.

Kemalangan maut yang pernah melibatkan cyanide berlaku di utara Indiana Amerika Syarikat melibatkan 4 pekerja kilang dan mencederakan 20 yang lain akibat daripada pendedahan kepada gas beracun cyanide. Di Ghana, 30 penduduk dilaporkan mengalami tanda-tanda keracunan cyanide selepas sungai Ajoo dicemari pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas di situ. Malah di Laos, pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas dari Australia telah menyebabkan kematian ikan dan keracunan kepada penduduk yang tinggal sehingga 3KM jaraknya dari kilang itu.

Di Beijing China, kebocoran gas cyanide di salah satu syarikat perlombongan emas di daerah Huairou telah menyebabkan 3 kematian manakala 15 lagi dimasukkan ke hospital. Malah kemalangan maut yang melibatkan cyanide telah meragut nyawa 12 kanak-kanak yang tidak berdosa akibat pencemaran air di Sungai Bambana.

Bencana alam sekitar yang paling ketara kesan daripada kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas berlaku di bahagian utara-barat Romania pada tahun 2000 dan diklasifikasikan sebagai bencana sungai yang paling teruk di Eropah sehingga menyebabkan pencemaran sumber air serta kematian hampir 20 jenis ikan yang dilindungi termasuklah binatang-binatang lain seperti memerang, musang dan burung. Malah pada tahun 1995 dan pada tahun 2000 di Guyana, pencemaran sungai akibat kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas telah menyebabkan pencemaran sumber air dan kematian kehidupan akuatik sejauh 4KM malah penduduk yang telah terdedah dengan pencemaran cyanide itu  mengalami ruam-ruam merah di badan mereka, muntah dan ceret-beret.

Kemalangan yang melibatkan bahan kimia cyanide ini terlalu banyak di seluruh dunia dan kerana ancaman ini, PAS melalui Lajnah Alam Sekitar Pusatnya yang dipengerusikan oleh Sdr.Zulkefly Mohamad Omar serta Sdr.Andansura Rabu yang mewakili Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang telah mengambil ketetapan untuk bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman.

“Kedudukan kilang Raub Australian Gold Mining (RAGM) yang hanya 200-300 meter dari lokasi penempatan 3000 penduduk dan dimiliki oleh anak kepada veteran politik MCA itu jelas membelakangkan konsultansi dengan penduduk setempat lebih-lebih lagi apabila bahan kimia cyanide digunakan untuk operasi perlombongan emas mereka. Kami tahu Kajian Impak Alam Sekitar (PEIA) yang telah diluluskan Jabatan Alam Sekitar tidak memerlukan konsultansi pihak awam tetapi seharusnya atas faktor ‘social obligation’ atau khidmat masyarakat, konsultansi ini dapat dipertimbangkan untuk dilakukan terlebih dahulu sebelum keputusan kesesuaian tapak atau lokasi akhir syarikat perlombongan itu diputuskan oleh pihak pengurusan RAGM dengan mengambil kira jarak syarikat perlombongan itu dengan penempatan penduduk. Dalam kes ini, masalahnya ialah ia terlalu dekat”,  ujar Sdr.Zulkefly Mohamad Omar (gambar) selaku AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.

Beliau juga mempersoalkan di manakah garis panduan dari pihak Kerajaan Pusat dan Negeri untuk industri perlombongan emas yang menggunakan cyanide ini seperti yang sudah sedia ada untuk insinerator lebih-lebih lagi apabila terdapat terlalu banyak kemalangan di seluruh dunia yang melibatkan penggunaan bahan kimia cyanide ini khususnya di dalam sektor perlombongan emas. Malah terbukti beberapa negara sudah pun mengambil tindakan mengharamkan penggunaan cyanide di negara mereka malah Kesatuan EU walaupun tidak mengharamkan penggunaan cyanide atas sebab-sebab kesan pengharaman bahan kimia itu ke atas keperluan sosio-ekonomi mereka di sana (peluang pekerjaan, dan sebagainya), satu garis panduan yang ketat telah pun dikuatkuasakan.

“Seharusnya satu Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) yang digunapakai oleh RAGM dan bukan PEIA, tetapi masalahnya, peraturan yang sedia ada, yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar tidak memerlukan DEIA dilakukan untuk syarikat perlombongan emas itu. Persoalannya, atas dasar apakah DEIA tidak dikuatkuasakan untuk RAGM?.

Kes yang sama berlaku untuk projek LYNAS di mana PEIA sahaja diperlukan walaupun industri yang berkait dengan sisa radioaktif adalah industri impak tinggi kepada Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar. Mungkinkah industri perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia cyanide ini diklasifikasikan sebagai industri yang rendah impaknya? Persoalannya, jika benar, kenapakah sektor perlombongan emas ini diklasifikasikan sebagai rendah impaknya kepada Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

 Ini soalan saya kepada Jabatan Alam Sekitar. Kerana keputusan Jabatan Alam Sekitar inilah, konsultansi pihak awam tidak berlaku dan apabila konsultansi pihak awam tidak berlaku, inilah sebabnya kenapa penduduk Bukit Koman tidak tahu bahawa RAGM sudah beroperasi dengan menggunakan cyanide semenjak tahun 2009 lagi.”, ujar Sdr. Andansura Rabu (gambar) selaku Exco Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang selaku Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar Negeri.

Sdr. Zulkefly dan Sdr. Andansura mempertikaikan kegagalan Menteri Kesihatan, Dato' Sri Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong Pahang, Menteri Pelancongan Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen yang juga Ahli Parlimen Raub Pahang dan Dato' Hoh Khai Mun, ADUN Bilut selaku Exco Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Kesihatan Pahang dari MCA itu untuk menyelesaikan isu penduduk Bukit Koman ini di Raub. Malah kenyataan Dato' Sri Liow Tiong Lai yang mempersoalkan di manakah penyelesaian terhadap masalah ini daripada penduduk Bukit Koman serta mempertikaikan sumber ancaman  kesihatan itu yang mungkin bukan dari RAGM jelas menyerlahkan sikap beliau untuk mempertahankan RAGM berbanding kepentingan rakyat.

“Adakah mereka melindungi kepentingan RAGM kerana hubungan pemegang saham utama RAGM itu dengan ayahnya yang pernah menjadi veteran MCA? berbanding kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka sebagai Ahli Parlimen?. Kerana selepas 3 tahun RAGM beroperasi, isu yang melibatkan kepentingan rakyat setempat masih tidak dapat diselesaikan. Adakah mereka juga yakin jika berlaku kebocoran cyanide dari RAGM tidak akan hanya menjejaskan kesihatan penduduk Raub khususnya di Bukit Koman tetapi akan juga menjejaskan Empangan Klau di mana airnya akan disalurkan pula ke penduduk di Selangor selepas projek Pemindahan Air di antara Negeri Pahang-Selangor (ISRWT) siap nanti?”, ujar Sdr. Zulkefly.

Memetik kenyataan Sdr.Andansura, selepas isu pencemaran alam sekitar di Cameron Highlands didedahkan PAS 2 hari yang lalu termasuk isu pencemaran sungai di Bentong serta Kuala Lipis dan isu LYNAS, kini rakyat Pahang dihantui pula dengan ancaman agen pembunuh cyanide di Bukit Koman Raub. Rakyat Pahang dilihat telah diperlakukan seperti tikus makmal oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam kerakusan mereka mengejar keuntungan ekonomi semata-mata.

Kerana sikap kejam dan tidak berperikemanusiaan inilah,  PAS mengambil pendirian dan ketetapan untuk bersama-sama dengan Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman untuk sama-sama menganjurkan “Himpunan Hijau Raub” 2hb September (Ahad) ini di Dataran Raub Pahang. PAS Pusat bersama-sama dengan Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang ingin menyeru seluruh ahli PAS di seluruh negara khususnya di Pahang untuk sama-sama turun ke Raub untuk memberikan sokongan menghalang penggunaan ancaman bahan kimia Cyanide ini oleh RAGM.

Tiada ulasan: