Rabu, 1 Ogos 2012

BN yakin Sabah tidak akan lumpuh

Jamilah Hamzah

Ahmad Maslan
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan
 
 
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) yakin sokongan rakyat di negeri Sabah tidak akan lumpuh meskipun dua ahli Parlimen kanan perikatan itu memutuskan untuk keluar parti dan mengumumkan akan menubuhkan parti politik baru.

Ketua Penerangan dan Biro Publisiti BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya yakin dengan sokongan itu kerana sedang giat mengaktifkan jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap kerusi Parlimen.

Wakil rakyat kerusi Tuaran dan Beaufort keluar parti di sebalik spekulasi bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipanggil selepas sambutan Aidilfitri.

Penganalisis dan pemerhati politik melihat perkembangan itu dilihat akan memberi kesan ke atas BN dalam dalam PRU13 khususnya di Sabah yang dianggap sebagai 'sokongan hayat' perikatan tersebut.

Malah, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, BN perlu menggerakkan jentera di peringkat PDM supaya rakyat lebih dekat kepada parti.

"Di Sabah kalau kita aktifkan PDM ini, tidak kan lumpuh sama ada di Beaufort ataupun Tuaran.

"Kita aktifkan PDM dengan aktiviti yang diadakan sepanjang Ramadan ini supaya masyarakat dan pemimpin lebih dekat dengan rakyat," kata beliau pada Program Tamu Sahur atau Nur Ramadan sempena bulan Ramadan di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini memberitahu bahawa aktiviti Nur Ramadan atau Tamu Sahur perlu diteruskan dan dipergiatkan secara aktif oleh semua sayap parti di PDM bagi mendapat sokongan rakyat.

"Bukan setakat berbuka puasa, tarawih atau bersahur tapi sepanjang hari akan diadakan aktiviti.

"Kita akan ada pelbagai aktiviti baru untuk mendekatkan rakyat dan pemimpin," katanya.

Pada 28 Julai lalu, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Semalam beliau digugurkan sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sehari kemudian, Ahli Parlimen Tuaran dari Upko, Datuk Seri Wifred Bumburing pula mengisytiharkan meletak jawatan sebagai Pengerusi BN kawasan itu.

Upko merupakan parti komponen BN.

Dalam pada itu, dipetik Bernama, Pergerakan Pemuda Umno Sabah menyuarakan sokongan padu kepada Umno dan BN yang diterajui Presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Awang Kadin Tang berkata, isu peletakan jawatan Lajim  sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort, sudah dijangka, dan ia tidak memberi impak kepada keutuhan Umno dan BN negeri terutama di Beaufort.

Sambil menyatakan Umno dan BN pernah melalui pelbagai cabaran yang lebih besar daripada isu peletakan jawatan oleh Lajim, beliau berkata peletakan jawatan itu tidak memberi banyak perubahan kepada kekuatan Umno dan BN apatah lagi 'kalau isu perletakan ini didorong oleh kepentingan peribadi'.

"Pemuda Umno Sabah yakin dan tegas bahawa di bawah kepimpinan Umno negeri dan Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) bukan sahaja ekonomi negeri ini menjadi berkembang dan mantap sehingga banyak pelabur dalam dan luar negara datang melabur di Sabah, malah kekuatan Umno dan BN juga kian bertambah padu dan jitu," katanya dalam kenyataan, semalam.

Awang Kadin berkata: "Memanglah kalau diri kita sendiri sudah merasakan bahawa tidak mungkin akan terpilih menjadi calon (pilihan raya) seperti yang dinyatakan oleh Lajim sendiri baru-baru ini, maka kita akan terbawa-bawa dengan kepentingan diri, sambil menyatakan kononnya parti yang kita sertai dulu sebagai tidak baik."

"Tindakan ini tidak menghairankan kita. Jika seseorang ahli atau pemimpin itu seorang pejuang dan berjuang untuk parti dan rakyat, mungkin kenyataan serupa itu tidak mungkin dijadikan alasan sebabnya Sabah kini kian maju pembangunannya dan mantap ekonominya yang terbukti dari simpanan RM100 juta pada awal tahun 1994 tapi sejak 2002 hingga kini telah mencapai hampir RM4 bilion," katanya.

Beliau berkata, alasan Lajim meletak jawatan untuk membawa perubahan di Sabah dan memperjuangkan hak rakyat serta menghapuskan rasuah, adalah sebagai gimik politik semata-mata.

"Apa yang diperkatakan oleh Lajim itu sudahpun dilakukan oleh kerajaan BN dan banyak program yamg membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri dalam dasar transformasinya di semua sektor dan Musa dalam dasar hala tujunya yang telah membawa Sabah menikmati pelbagai kemajuan," katanya.

Awang Kadin menambah, Pemuda Umno dan BN Sabah sudah lama bersiap sedia dan sentiasa mempastikan bahawa jentera Pemuda sentiasa berada ditahap paling mantap untuk mempastikan kemenangan Umno dan BN di seluruh negeri terutama di Beaufort.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kekosongan yang ditinggalkan oleh Lajim dan Bumburing akan diisi oleh mereka yang lebih berkaliber.

Tanpa Nama berkata...

BN Sabah akan sentiasa mendapat sokongan padu daripada penyokong tegarnya.

mike berkata...

tanpa lajim dan bumburing, BN sabah tetap kuat dan kukuh...

mike berkata...

sokongan rakyat sabah kepada BN masih utuh dan menyakinkan berbanding dengan pembangkang...pru13 nanti pasti BN sabah akan menang..

mantera berkata...

BN Sabah akan tetap kukuh tanpa Lajim dan Bumburing.

mantera berkata...

Sabah ada ramai lagi pemimpin hebat boleh menggantikan tempat Bumburing dan Lajim.

kamilla berkata...

Biarpun Lajim dan Bumburing meningalkan BN, ini langsung tidak meningal kan kesan..malah BN akan semakin kuat.

kamilla berkata...

BN pasti akan menang pada PRU ini.